Sabah First Info Blog Tempatan Kerajaan negeri komited perkasa dakwah Islamiah
Tempatan Utama

Kerajaan negeri komited perkasa dakwah Islamiah

TAWAU: Kerajaan Negeri Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor sentiasa memberi ruang dan sokongan terhadap pembangunan serta pengembangan dakwah Islamiah di negeri ini, termasuk penubuhan madrasah dan pusat tahfiz.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, dasar kerajaan negeri hari ini terbukti tidak menyekat mana-mana pihak untuk membina pusat pengajian agama, malah turut memperkukuh peruntukan bagi pembangunan Islam setiap tahun.

“Penggunaan pusat tahfiz atau madrasah di Sabah ini tanpa sebarang halangan daripada kerajaan adalah bukti jelas bahawa kerajaan hari ini tidak membelakangi dakwah Islamiah.

“Di bawah kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji, semua agama termasuk Islam diberi kebebasan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika merasmikan Madrasah Durrussalam di Gading Wakuba, Batu 15 Jalan Apas, di sini, hari ini.

Nizam berkata, meskipun Islam merupakan agama rasmi Persekutuan, kerajaan tetap menghormati kebebasan beragama, namun dalam masa sama memberi keutamaan terhadap pengukuhan syiar Islam.

Menurutnya, kerajaan negeri juga sentiasa meningkatkan peruntukan tahunan bagi pengurusan serta pelaksanaan aktiviti agama Islam sebagai bukti komitmen memperkasa pendidikan dan dakwah Islamiah.

“Ini membuktikan kerajaan negeri benar-benar menggalakkan agar Islam terus diperkasakan, sekali gus membentuk generasi muda yang berakhlak dan terhindar daripada gejala tidak sihat,” katanya.

ALBUM: Nizam bergambar bersama pengelola madrasah dan penyumbang di Masjid al-Sunni.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada keluarga Almarhum Tuan Haji Sunni Arshad yang mewakafkan tanah bagi pembinaan madrasah tersebut.

Katanya, madrasah itu akan menjadi satu lagi pusat pembelajaran agama khususnya dalam bidang hafazan Al-Quran dan pendidikan Islam bagi anak muda di Tawau.

Nizam turut menyarankan agar semua madrasah dan pusat tahfiz berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) bagi memastikan pemantauan dan saluran bantuan dapat dilakukan dengan lebih teratur.

“Dengan adanya pendaftaran rasmi, ia dapat memastikan aktiviti pengajian mematuhi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah serta tidak terpesong daripada landasan sebenar,” katanya.

Exit mobile version