Sabah First Info Blog Tempatan Kebimbangan Pandikar perlu diambil perhatian: STARSABAH
Tempatan Utama

Kebimbangan Pandikar perlu diambil perhatian: STARSABAH

KOTA KINABALU: Suara Presiden USNO Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkenaan kebimbangan beliau terhadap bagaimana Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berfungsi perlu diambil perhatian serius.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH) Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, beliau memahami kebimbangan itu dan setuju dengan perkara-perkara yang dibangkitkan.

“GRS mesti memperkasakan bagaimana operasi dalam gabungan ini. Mesti mempunyai amalan hormat-menghormati, kerjasama dan perbincangan yang bermakna.

“Setiap parti komponen tidak kira sama ada mempunyai kerusi atau sebaliknya, suara mereka berhak untuk didengari dan dilayan dengan sama rata,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kritikan terbuka dan merendahkan pemimpin berpengalaman dari kalangan pemimpin muda tidak boleh diterima.

“Ini bukan cara atau amalan sebuah gabungan yang bertanggungjawab…isu dalaman mesti diselesaikan atau diutarakan menerusi saluran yang betul, seperti Majlis Kepimpinan GRS dan GRS mesti sanggup menerima secara terbuka terhadap kebimbangan yang diutarakan.

“Untuk menyokong usaha ini, kita mesti komited untuk mengadakan mesyuarat kepimpinan secara berkala,” katanya.

Beliau berkata, GRS diasaskan untuk menyatupadukan parti tempatan dibawah satu bumbung. Semangat kebersamaan itu perlu dikekalkan.

Katanya, semua pihak dalam GRS perlu konsisten dengan slogan ‘Rumah Kita, Kita Jaga’. Ia bukan sekadar perkataan, tetapi tindakan bersama diantara satu sama lain.

Menurutnya, setiap parti komponen mesti diberikan peranan penting walaupun mereka tidak memiliki kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, penggiliran kepimpinan dan berkongsikan tanggungjawab akan membantu memperkasakan kepercayaan dan mengurangkan ketegangan dalam gabungan.

“GRS mesti mempunyai pendirian tegas terhadap rakan seperjuangan dari Semenanjung sebelum Pilihan Raya Negeri akan datang.

“Adakah kita bertanding kesemua 73 kerusi DUN secara bebas atau kita akan berkerjasama dengan mana-mana blok parti Semenanjung? perkara ini tidak boleh dibiarkan, rakyat berhak mendapat penjelasan yang jujur,” katanya.

Jeffrey turut memohon untuk mengadakan mesyuarat perpaduan untuk semua parti tempatan Sabah, bukan sahaja yang dalam GRS. Perbincangan perlu dilakukan bertujuan melindungi hala tuju politik Sabah dan mengurangkan kebergantungan dari Putrajaya.

UtusanBorneo

Exit mobile version