
SANDAKAN: Cubaan sebuah kapal kargo tempatan untuk membawa keluar 111,391 liter minyak petrol bersubsidi secara haram melalui perairan Sabah berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah baru-baru ini.
Penolong Ketua Pangarah Kastam, Zon Sabah, Siti Mang berkata penahanan kapal itu dibuat jam 7.48 malam pada 19 November lalu, hasil maklumat yang disalurkan oleh Cawangan Risikan Zon Sabah.
Katanya anggota kastam Cawangan Penguatkuasaan Lahad Datu dan Sandakan membuat serbuan ke atas sebuah kapal kargo tempatan.Seorang juragan warga Malaysia juga turut ditahan bagi membantu siasatan.
Minyak petrol yang dirampas dianggarkan bernilai RM228,351.55 dan anggaran nilai duti serta cukai terlibat berjumlah RM66,834.60.
Sementara kapal kargo tempatan yang disita itu pula dianggarkan bernilai RM250,000 dan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM545,186.15.
Katanya kes ini disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(a) dan Seksyen 139 Akta Kastam 1967.
Siti berkata orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam yang terdekat di semua negeri untuk menyalurkan maklumat berkaitan.


Leave feedback about this