
Kanser Kulit Semakin Membimbangkan di Sabah Akibat Pendedahan Sinaran UV
KOTA KINABALU: Kanser kulit kini menjadi antara isu kesihatan yang semakin membimbangkan di Sabah berikutan pendedahan berterusan kepada sinaran ultraungu (UV) sepanjang tahun.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr. William Gotulis berkata, keadaan itu menuntut usaha berterusan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat, memperkukuh pengesanan awal, memastikan diagnosis yang tepat serta menyediakan rawatan yang berkesan.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan), Dr. Ridwan Hashim ketika merasmikan Persidangan Kanser Kulit Sabah 2026 di Kota Kinabalu.
Seramai 180 peserta dari Malaysia dan luar negara menghadiri persidangan sulung itu yang menghimpunkan pelajar perubatan, pegawai perubatan, profesional kesihatan bersekutu, doktor pelatih pembedahan serta pakar dan perunding.
Menurut beliau, persidangan berkenaan mencerminkan komitmen dalam memperkukuh kepakaran klinikal, menggalakkan perkongsian ilmu akademik dan memperluas kerjasama multidisiplin dalam pengurusan kanser kulit.
Selain pembentangan ilmiah oleh 13 penceramah tempatan dan antarabangsa, program itu turut menampilkan Bengkel Jahitan Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif serta Pengurusan Parut bagi memberi pendedahan kepada teknik pembedahan dan pendekatan moden dalam rawatan pesakit.
Jabatan Kesihatan Negeri Sabah turut menegaskan komitmennya untuk terus menyokong pelbagai inisiatif yang mampu meningkatkan kualiti, kebolehcapaian dan kelestarian perkhidmatan kesihatan di negeri ini.
Sumber: Memetik laporan Warta Oriental.
