Sabah First Info Blog Tempatan Juruukur Bahan PBT Ditahan SPRM, Disyaki Terima Suapan Lebih RM200,000
Tempatan Utama

Juruukur Bahan PBT Ditahan SPRM, Disyaki Terima Suapan Lebih RM200,000

KOTA KINABALU: Seorang juruukur bahan pihak berkuasa tempatan (PBT) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menerima wang suapan melebihi RM200,000 daripada beberapa kontraktor dan syarikat pembekal.

Lelaki berusia 30-an itu dipercayai menerima wang tersebut sebagai balasan membantu mendapatkan projek-projek kerajaan berkaitan pembasmian kemiskinan, pembinaan rumah mesra Sabah, pembersihan pusat pembuangan sampah dan pembekalan alat ganti kerajaan.

Menurut sumber, suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah sekitar jam 7 malam semalam. Transaksi rasuah itu dipercayai berlaku dari tahun 2021 hingga 2024.

Mahkamah Majistret Kota Kinabalu hari ini mengeluarkan perintah reman selama empat hari terhadap suspek sehingga 13 Julai, selepas permohonan dibuat SPRM di hadapan Majistret Wan Farrah Farizza Wan Ghazali.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy, mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Exit mobile version