Tempatan Utama

JTU laksana strategi percepat proses ukur, sedia geran tanah

KOTA KINABALU: Bagi mempercepatkan proses pengukuran tanah dan penyediaan geran tanah untuk rakyat di negeri ini, beberapa strategi dilaksanakan kerajaan negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur (JTU).

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir berkata, strategi pertama adalah penggunaan bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta teknologi geospatial yang terkini dalam pengukuran tanah dan pemprosesan penyediaan geran tanah .

Katanya, ia termasuk penggunaan ‘Global Navigation Satellite System’ (GNSS) dalam pengukuran tanah untuk Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS).

Menurutnya, penggunaan kaedah pengukuran GNSS secara purata menunjukkan berlakunya peningkatan sehingga 70 peratus dari segi bilangan lot yang diukur, berbanding menggunakan pengukuran kaedah ‘total station’.

“Melalui kaedah ini, penyediaan dan kelulusan data ukur dapat dipercepatkan sehingga penyediaan geran draf. Melalui Program PANTAS setakat 31 Oktober 2023, JTU berjaya menjalankan pengukuran untuk tanah anak negeri sebanyak 6,981 lot dengan keluasan  13,342.97 hektar.

“Berdasarkan statistik JTU, keluasan geran tanah berdaftar (NT/FR) setakat 31 Oktober 2023 ialah 1,177,288.5 hektar ataupun 44 peratus keluasan keseluruhan geran tanah yang berdaftar di Sabah berbanding dengan keluasan geran tanah berdaftar NT/FR pada 31 Disember 2010, iaitu 477,171 hektar ataupun 24.5 peratus keluasan keseluruhan geran tanah yang berdaftar di Sabah.

“Ini bermakna keluasan geran tanah berdaftar NT/FR meningkat sebanyak lebih kurang 20 peratus dalam keluasan keseluruhan geran tanah berdaftar di Sabah dalam tempoh 13 tahun,” katanya dalam ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kelmarin.

Abidin berkata, statistik itu juga menunjukkan usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan pemilikan NT/FR di Sabah demi membangunkan sosio ekonomi dan juga membasmi kemiskinan dalam kalangan anak Sabah.

Dalam pada itu katanya, jumlah tunggakan permohonan tanah seluruh Pejabat Tanah Daerah setakat 31 Oktober lepas adalah sebanyak 46,635 berbanding dengan jumlah tunggakan permohonan tanah seluruh Sabah pada 10 tahun lalu iaitu sebanyak 277,374 pada 31 Disember 2013.

Menurutnya, jumlah berkenaan menunjukkan penurunan sebanyak lebih kurang 230,739 dalam tempoh 10 tahun dan melalui penggunaan teknologi terkini bersama Program PANTAS, JTU berjaya mengurangkan tunggakan permohonan tanah dengan banyak sekali gus meningkatkan jumlah keluasan pemilikan NT/FR.

Sehubungan itu jelasnya, strategi-strategi yang digunakan oleh JTU memadai dan cadangan pewujudan ‘Task Force Orang Asal Sabah’ tidak perlu diadakan pada masa kini.

“Kerajaan negeri juga menerima peruntukan sebanyak RM10 juta dari kerajaan Persekutuan untuk 2023 bagi membiayai Program Pengukuran Tanah Hak Adat (PKAN) di Sabah.

“JTU selaku agensi pelaksana menggunakan peruntukan itu untuk pengukuran serta urusan pengeluaran geran-geran tanah anak negeri yang tinggal di kampung dan di luar bandar.

“Bagi meneruskan program ini, JTU turut memohon peruntukan sejumlah RM20 juta untuk 2024 yang ketika ini sedang dalam pertimbangan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM),” jelasnya.

Leave feedback about this

  • Rating