Sabah First Info Blog Tempatan Jelajah Iftar KTC dan UPPM melabuhkan tirai di Papar
Tempatan Utama

Jelajah Iftar KTC dan UPPM melabuhkan tirai di Papar

PAPAR: Jelajah Iftar 2025 tajaan Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah telah tiba ke destinasi terakhirnya di Kawasan Parlimen Papar, kelmarin.

Jelajah yang merangkumi 25 kawasan Parlimen di seluruh Sabah ini telah memberi manfaat kepada ribuan penerima dari golongan kurang bernasib baik termasuk orang kurang upaya, melalui Shopping Raya dan Majlis Berbuka Puasa.

Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau berkata, pihaknya meluahkan rasa syukur atas kejayaan program ini serta merakamkan penghargaan kepada pihak UPPM, khususnya Datuk Awang Kadin Tang, atas sokongan yang diberikan.

Beliau menegaskan bahawa sebagai syarikat tempatan yang telah beroperasi selama 87 tahun, KTC komited untuk terus menyumbang kepada masyarakat.

Dexter turut berkongsi kegembiraannya kerana dapat mengenali lebih ramai sahabat baharu sepanjang program ini.

Katanya, Jelajah Iftar itu bertujuan berkongsi rezeki, meringankan beban golongan memerlukan di seluruh Sabah, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.

Seramai kira-kira 400 orang hadir ke majlis berbuka puasa yang diadakan di Masjid Al-Falah Pengalat Kecil dan sejumlah 40 orang dari golongan kurang berkemampuan menerima sumbangan khas dari Benta Wawasan dan Sabah Softwoods Berhad.

100 orang lagi menerima sumbangan khas daripada Pengarah Kumpulan Yayasan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang Datuk Gulamhaidar Khan Bahadar.

Turut hadir, Pengarah UPPM Sabah Datuk Awang Kadin Tang, Datin Yee Tsai Siew, Setiausaha Sulit Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Roslie Ibrahim, KPSU Bahagian Zakat dan Fitrah Iwansuzairie Hari dan Ketua Polis Daerah Papar Superintendant Kamarudin Ambo Sakka.

Exit mobile version