
KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SE) mengingatkan semua parti politik agar tidak memasang sebarang bahan kempen di premis serta pepasangan elektrik milik syarikat sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 (PRU17 Sabah).
Larangan ini meliputi penampalan atau penggantungan poster, bendera, gegantung dan sepanduk di menara penghantaran, tiang elektrik, peti pembekal, pencawang, tiang elektrik konkrit dan talian atas.
Ketua Pegawai Operasi SE, Ir. Ts. Mohd Yusmanizam Mohd Yusof, berkata tindakan terbabit boleh mengundang bahaya seperti risiko renjatan elektrik dan gangguan bekalan elektrik ke premis penting seperti Pusat Penamaan Calon, Pusat Mengundi serta Pusat Penjumlahan Rasmi Undi sepanjang proses pilihan raya.
Tambahnya, pemasangan bahan kempen juga menghalang petugas SE daripada mendapatkan akses untuk kerja penyelenggaraan dan pemulihan bekalan elektrik.
“Orang ramai dinasihat supaya tidak memegang, membawa atau memasang tiang bendera di bawah mana-mana talian penghantaran elektrik termasuk tiang bendera daripada buluh yang boleh menyebabkan renjatan elektrik kepada mereka yang berada berhampiran.
“Aktiviti berbahaya ini juga menyalahi Enakmen Bekalan Elektrik 2024 yang melarang gangguan, pencacatan atau kerosakan pepasangan elektrik.
“Sebagai langkah pencegahan, SE akan menjalankan rondaan rutin dan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) serta pihak berkuasa untuk menurunkan bahan kempen yang berisiko menimbulkan bahaya dan masalah kepada pengguna,” katanya.
Katanya, SE turut memohon kerjasama semua pihak agar mengelak melakukan kerja pengorekan tanah bagi mengurangkan risiko menyentuh kabel elektrik yang boleh menyebabkan gangguan bekalan elektrik.
Orang ramai yang melihat situasi yang boleh mengancam keselamatan atau menjejaskan bekalan elektrik diseru untuk menghubungi Facebook Sabah Electricity CareLine atau talian 15444 bagi tindakan segera.


Leave feedback about this