Sabah First Info Blog Sukan Irene Banggakan Sabah, Tamatkan Penantian 16 Tahun Pingat Wanita
Sukan Tempatan Utama

Irene Banggakan Sabah, Tamatkan Penantian 16 Tahun Pingat Wanita

KOTA KINABALU: Kejayaan atlet angkat berat Sabah, Irene Jane Henry, 21, meraih pingat gangsa pada Sukan Komanwel di Scotland bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia dan Sabah, malah menamatkan kemarau 16 tahun pingat wanita negara dalam acara angkat berat di temasya berprestij itu.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pencapaian bersejarah Irene membuktikan kejayaan seseorang atlet bukan hanya bergantung kepada latihan dan sokongan agensi sukan, sebaliknya turut dipacu oleh dorongan padu daripada keluarga.

Beliau berkata, keluarga Irene yang berasal dari Tambunan menjadi contoh terbaik dalam melahirkan atlet berprestasi tinggi apabila sentiasa memberi galakan kepada anak-anak mereka untuk aktif dalam bidang sukan.

“Saya melihat kejayaan Irene di Sukan Komanwel ini bukan sahaja hasil latihan gigih dan sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan Sabah serta Majlis Sukan Negara (MSN), tetapi juga hasil sokongan ibu bapa dan seluruh keluarganya.

“Kita memerlukan sokongan daripada ibu bapa untuk menjadikan anak mereka sebagai juara. Jangan kita letakkan tanggungjawab itu kepada atlet atau MSN semata-mata kerana sokongan keluarga amat penting,” katanya ketika menyambut kepulangan Irene di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), hari ini.

Menurut Nizam, Irene turut mencatat sejarah apabila menjadi atlet wanita yang menamatkan penantian 16 tahun Malaysia untuk meraih pingat dalam acara angkat berat di Sukan Komanwel.

Beliau berharap lebih ramai ibu bapa di Sabah mencontohi semangat keluarga Irene agar negeri itu mampu melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia pada masa hadapan.

Dalam perkembangan sama, Nizam berkata Kerajaan Sabah akan memberikan insentif tambahan sebanyak RM10,000 kepada Irene melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah sebagai penghargaan atas kejayaan berkenaan.

Katanya, insentif itu melengkapkan ganjaran RM20,000 yang diterima daripada Majlis Sukan Negara, menjadikan jumlah keseluruhan ganjaran tunai kepada Irene sebanyak RM30,000.

“Atlet yang mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa memang akan menerima insentif daripada Kerajaan Sabah. Irene akan menerima RM20,000 daripada Majlis Sukan Negara dan Kerajaan Sabah akan menambah RM10,000 lagi, menjadikan keseluruhan RM30,000,” katanya.

Sementara itu, Irene melahirkan rasa bangga kerana berjaya menghadiahkan pingat bukan sahaja untuk Malaysia, malah buat Sabah.

Beliau berkata, segala persiapan sebelum kejohanan berjalan lancar hasil sokongan penuh daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

“Perasaan saya sudah tentu bangga dan gembira sebab bukan sahaja dapat membawa pingat untuk Malaysia, tetapi juga sebagai anak Sabahan.

“Kalau diberi peluang menyertai kejohanan seperti Sukan SEA, Sukan Asia atau Olimpik selepas ini, saya akan berusaha memberikan yang terbaik dan menyasarkan pingat emas,” katanya.

Irene yang merupakan anak ketiga daripada enam beradik kini melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan Jasmani di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau berkata, dua lagi adiknya turut mengikuti jejak langkah dalam sukan angkat berat dan bakal mewakili Sabah pada temasya SUKMA akan datang.

Exit mobile version