Tempatan Utama

IPD Nabawan, Kalabakan dijangka siap 2029

KOTA KINABALU: Dua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) baharu kini sedang dalam proses pembinaan dan dijangka siap pada tahun 2029.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata dua IPD berkenaan masing-masing di daerah Nabawan dan Kalabakan.

Katanya, dua IPD itu merupakan sesuatu yang amat penting kerana kedua-duanya berada kawasan persempadanan dengan negara jiran.

“Ini sudah tentu memberikan kita kelebihan dari segi kekuatan tenaga di kawasan berkenaan dan kita mampu untuk memberikan respon segera berkaitan dengan beberapa isu di sempadan yang melibatkan warga daripada negara jiran,” katanya.

Beliau ditemui media selepas kunjungan hormat terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin di Istana Seri Kinabalu, pada Selasa.

Dalam pada itu, Jauteh berkata, TYT berharap pihak polis di Sabah mengambil tindakan drastik dan berkekalan serta agresif terutama sekali berkaitan kes dadah.

Mengenai kunjungan itu, beliau berkata ia bertujuan memberi penerangan ringkas kepada Musa berkenaan beberapa perancangan PDRM.

Katanya, ia selaras usaha memperkasakan persempadanan negeri dan aktiviti PDRM lain untuk memberikan gambaran terkini berkaitan negeri Sabah.

Turut hadir Komander Briged Sabah PGA, Datuk Abdul Rani Alias, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Datuk Mohd Azhar Hamin dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Azmi Abdul Rahim. – Penerangan.

Leave feedback about this

  • Rating