
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri terus memperkasakan sistem pentadbiran tanah melalui inisiatif pendigitalan bagi memastikan penggunaan tanah secara mampan dan optimum.
Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman berkata, beberapa sistem dan aplikasi baharu seperti SMART Geo Sabah, aplikasi 3D Building dan Sistem Pengurusan Penguatkuasaan Tanah Berkomputer turut dibangunkan.
Katanya, ia bagi memudahkan pengurusan data dan penguatkuasaan tanah dengan lebih cekap.
“Kerajaan negeri juga akan terus komited dalam usaha pemberian tanah anak negeri (Native Title) dan pewartaan tanah rizab untuk perkampungan anak negeri.
“Pada 2024, sebanyak 8,672 lot tanah anak negeri dengan keluasan 17,701.5 hektar diukur dan 82 tanah simpanan perkampungan anak negeri diwartakan.
“Pada 2025, kerajaan negeri menyasarkan untuk mengukur sekurang-kurangnya 7,500 lot tanah anak negeri dengan keluasan 15,000 hektar dan mewartakan sekurang-kurangnya 80 kawasan perkampungan anak negeri,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam Ucapan Dasar Kerajaan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Tahun 2025 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Yang Keenam Belas di sini hari ini.
Dalam pada itu Musa berkata, perubahan iklim yang melampau dan kejadian bencana alam yang kerap berlaku pada masa ini berpotensi menjejaskan sekuriti makanan.
“Justeru, amat penting bagi kerajaan negeri untuk berusaha meningkatkan produktiviti sektor pertanian yang juga pembekal utama makanan dan bahan mentah bagi industri berasaskan pertanian di Sabah.
“Melalui Dasar Pertanian Negeri Sabah Ketiga, 2017-2026, industri padi dan beras diangkat sebagai salah satu sektor utama untuk diperkukuhkan bagi memastikan sekuriti makanan yang berterusan dan mampan.
“Pelbagai inisiatif dirangka dan dipergiat selaras dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi mencapai matlamat untuk meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras kepada 60 peratus menjelang 2030,” jelasnya.
Menurutnya, bagi menyokong usaha itu, kerajaan negeri turut mempergiatkan aktiviti penyelidikan dan inovasi untuk menghasilkan kepelbagaian tanaman yang lebih berdaya tahan dan berkualiti tinggi.
Selain itu katanya, kerajaan negeri terus berusaha untuk mengukuhkan pengeluaran tanaman lain, termasuk tanaman avokado.
Beliau berkata, usaha itu selaras dengan komitmen kerajaan untuk menjadikan Sabah sebagai pengeluar utama avokado menjelang 2030.


Leave feedback about this