Sabah First Info Blog Tempatan Hajiji mahu rakyat beri peluang untuk terus pimpin kerajaan
Tempatan Utama

Hajiji mahu rakyat beri peluang untuk terus pimpin kerajaan

 

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menzahirkan harapan agar kerajaan pimpinannya diberi peluang sekali lagi oleh rakyat Sabah untuk meneruskan pemerintahan di negeri ini.

Beliau berkata, hakikatnya masih terlalu banyak yang perlu kerajaan lakukan untuk memajukan negeri dan mensejahterakan rakyat.

“Dengan hati dan minda yang terbuka, saya berharap kerajaan ini akan diberi peluang sekali lagi oleh rakyat untuk meneruskan pemerintahan di negeri yang bertuah ini.

“Jika kerajaan ini kembali memerintah, Insya Allah kita akan kekal bersama-sama menjayakan dan memperhebatkan lagi pelaksanaan Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ 1.0 akan menjadi Hala Tuju SMJ 2.0, demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan seluruh rakyat, sesuai dengan agenda untuk menjadikan Sabah negeri yang hebat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 Ketua Menteri Bersama Penjawat Awam di Negeri Sabah di sini hari ini.

Katanya, agenda besar kerajaan pada hari ini ialah untuk menjadikan Sabah sebuah negeri yang hebat dan cemerlang dalam pelbagai sektor pembangunan pada masa akan datang.

Menurutnya, kerajaan meletakkan sesuatu dasar yang jelas lagi komprehensif, dasar yang terbaik untuk negeri dan seluruh rakyat.

“Dasar Hala Tuju SMJ yang kita cipta sesuai dengan keperluan dan kehendak semasa, ke arah kemajuan yang holistik dan kesejahteraan yang merangkumi setiap lapisan rakyat.

“Bagi menjayakan agenda memperhebatkan negeri Sabah, jalinan kerjasama dan persefahaman antara pimpinan negeri dengan para penjawat awam, perlu terjalin erat dan sentiasa diperkukuhkan atas nama pertanggungjawaban dan kecintaan terhadap negeri dan tanah air yang disayangi.

“Begitu juga dengan hubungan akrab yang sedia terjalin, antara kerajaan negeri dengan Persekutuan. Hubungan yang diibaratkan seperti aur dengan tebing, bukan sahaja harus dikekalkan, tetapi juga wajib diperkukuh lagi,” katanya.

Beliau berkata, hubungan baik antara kerajaan negeri dengan Persekutuan membawa banyak manfaat dan faedahnya kepada Sabah. Pelbagai isu dan perkara bukan sahaja dapat dirundingkan bahkan dapat juga diselesaikan.

“Ini merangkumi isu-isu berkaitan perundangan dan akta, isu-isu mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dan lebih penting lagi isu-isu berkaitan usahasama atau kolaborasi antara kerajaan negeri dengan PETRONAS,” tambahnya.

Dalam pada itu, Hajiji turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh anggota perkhidmatan awam negeri dan Persekutuan, yang sejak hampir lima tahun ini, sentiasa memberikan sokongan dan dukungan terhadap kepimpinannya.

“Di sebalik pelbagai halangan dan rintangan yang saya hadapi, saya masih boleh berbangga kerana anda, warga penjawat awam tetap berdiri teguh di belakang saya hingga ke hari ini,” tegasnya.

Beliau menzahirkan penghargaan kepada penjawat awam atas komitmen dan sokongan padu menjayakan agenda pembangunan negeri, termasuk yang sedang mencurah bakti dalam sektor keselamatan, pendidikan dan kesihatan.

“Semoga negeri dan negara kita ini kekal aman dan sentosa, makmur dan sejahtera. Bersama kita kukuhkan tekad dan iltizam, menjayakan hasrat dan impian ke arah menjadikan Sabah negeri yang maju, makmur, aman dan sentosa,” katanya.

 

 

Exit mobile version