
Empat Atlet Muaythai Tawau Harumkan Nama Sabah, Raih Dua Emas dan Dua Gangsa di Greece
TAWAU: Empat atlet Kelab D’Sha Muayfit Tawau mengharumkan nama Sabah di pentas antarabangsa apabila berjaya membawa pulang dua pingat emas dan dua pingat gangsa pada Kejohanan IFMA Youth World Muaythai Championships 2026 di Greece.
Dua pingat emas disumbangkan Derylino Dedy dan Harith Dazzel Hari Irawan menerusi kategori bawah 10 tahun (U10), manakala Izack dan Ersyabell masing-masing meraih pingat gangsa dalam kategori bawah 18 tahun (U18).
Jurulatih D’Sha Muayfit Tawau, Sharon Andrea Gerald berkata, kejayaan itu merupakan hasil latihan berterusan, disiplin dan pengorbanan atlet, selain sokongan ibu bapa serta pelbagai pihak yang terlibat dalam pembangunan sukan Muaythai.
Menurutnya, pencapaian itu bukan sekadar kejayaan membawa pulang pingat, sebaliknya membuktikan kemampuan atlet muda kelab berkenaan untuk bersaing di peringkat dunia.
“Setiap atlet mempunyai perjalanan dan cabaran tersendiri. Kami datang ke Greece bukan sekadar untuk bertanding, tetapi membawa nama Malaysia, Sabah dan D’Sha ke pentas dunia.
“Empat atlet, empat pingat. Ini hasil usaha bersama dan satu kenangan yang akan menjadi sebahagian daripada legasi D’Sha,” katanya dalam satu kenyataan.
Sharon berkata, kejayaan itu turut didorong sokongan Persatuan Muaythai Malaysia, Persatuan Muaythai Sabah, Majlis Sukan Negeri Sabah serta Pejabat Belia dan Sukan (Persekutuan) Bahagian Tawau.
Sementara itu, Pegawai Belia dan Sukan (Persekutuan) Bahagian Tawau, Mohd Faiz Ridwan Mohd Noor turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua atlet dan jurulatih D’Sha Muayfit atas pencapaian membanggakan itu.
Beliau berkata, kejayaan berkenaan membuktikan atlet dari Tawau mempunyai bakat dan kemampuan untuk mencipta kejayaan di pentas dunia sekiranya diberikan ruang serta peluang.
Beliau berharap pencapaian itu menjadi pembakar semangat kepada atlet lain, bukan sahaja dalam sukan Muaythai, malah sukan lain di Tawau untuk terus memasang cita-cita dan berusaha mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, Pejabat Belia dan Sukan (Persekutuan) Bahagian Tawau sentiasa menyokong usaha pembangunan bakat sukan di daerah berkenaan.
Untuk rekod, kejohanan yang berlangsung dari 6 hingga 16 November 2026 itu menyaksikan kontinjen Malaysia meraih keseluruhan 10 pingat emas.
Kejayaan empat atlet berkenaan sekali gus menambah kebanggaan Sabah dalam melahirkan bakat muda yang mampu mengharumkan nama negeri dan negara di persada dunia.


Leave feedback about this