
KOTA MARUDU: Seorang wanita berusia 40 tahun cedera parah selepas dipercayai ditetak suaminya dalam kejadian di Kampung Mangkupa, di sini, pada kira-kira jam 9.30 pagi, Khamis.
Mangsa dilaporkan mengalami 14 kecederaan termasuk kesan tetakan di bahagian leher, namun kini berada dalam keadaan stabil dan akan dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Somiun Lomidin berkata, siasatan awal mendapati suspek, seorang lelaki warga Indonesia berusia 50 tahun, sudah berkahwin dengan mangsa selama 19 tahun dan mereka mempunyai enam orang anak.
Menurutnya, sebelum kejadian, mangsa berada di halaman rumah apabila ditegur suaminya yang mengarahkannya supaya tidak berbual dengan jiran lelaki.
“Mangsa menafikan dakwaan itu sebelum berlaku pertengkaran mulut antara mereka.
“Suspek yang berang kemudian dipercayai mengambil sebilah parang dari dapur lalu menyerang mangsa,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata, mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah oleh anak saudaranya sebelum jiran menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.
Hasil temu bual dengan mangsa di Wad Kecemasan Hospital Kota Marudu mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada sikap cemburu suspek yang sering menuduh isterinya mempunyai hubungan sulit dengan jiran lelaki, namun dakwaan itu dinafikan mangsa.
Polis kini sedang giat mengesan suspek yang melarikan diri selepas kejadian, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Sumber Utusan Borneo


Leave feedback about this