Sabah First Info Blog Tempatan BAS.MY pemangkin sistem pengangkutan moden di Kota Kinabalu – Phoong
Tempatan Utama

BAS.MY pemangkin sistem pengangkutan moden di Kota Kinabalu – Phoong

KOTA KINABALU: Program Transformasi Bas Berhenti-Henti atau Stage Bus Service Transformation (SBST) yang dijenamakan semula sebagai BAS.MY bakal menjadi pemangkin penting dalam memperkukuh sistem pengangkutan awam di Kota Kinabalu, kata Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah merangkap Menteri Penyelaras Pengangkutan Awam Kota Kinabalu, Datuk Phoong Jin Zhe.

Beliau berkata, pra-pelancaran hari ini menandakan permulaan kepada inisiatif yang sekian lama ditunggu-tunggu rakyat Sabah khususnya di bandar raya ini.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah, saya amat berbesar hati kerana inisiatif ini akhirnya menjadi kenyataan. Harapan saya adalah melihat sistem pengangkutan awam darat di Sabah diwujudkan dengan lebih selesa, selamat dan efisien,” katanya ketika berucap pada majlis itu di KK Sentral, di sini, hari ini.

Phoong turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang hadir merasmikan majlis tersebut serta memberi sokongan penuh terhadap pelaksanaan SBST di Sabah.

Beliau berkata, sejak peringkat perancangan lagi, beliau sendiri terlibat secara langsung dalam sesi libat urus bersama Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah bagi memastikan program ini direalisasikan.

“Kerajaan Negeri, khususnya Bandaraya Kota Kinabalu, amat memerlukan perkhidmatan pengangkutan awam yang moden dan inklusif. Saya yakin rakyat akan berasa teruja dengan pengalaman baharu melalui pelaksanaan SBST ini,” katanya.

Phoong mengakui terdapat cabaran pada peringkat awal, termasuk kebimbangan pengusaha bas sedia ada yang bimbang periuk nasi mereka terjejas.

Namun katanya, siri mesyuarat dan sesi libat urus telah diadakan untuk memberikan penjelasan dan meyakinkan mereka mengenai manfaat jangka panjang inisiatif ini.

“Saya amat bersyukur kerana program transformasi ini akan merancakkan ekonomi Kota Kinabalu, terutama dalam sektor pelancongan, perhotelan dan perniagaan, selain menghubungkan hampir 80 peratus kawasan utama bandaraya,” katanya.

Phoong turut merakamkan penghargaan kepada LPKP Sabah yang diketuai Pengerusinya, Vivian Wong Shir Yee, serta Pengarah LPKP Sabah, Dairin Unsir, atas komitmen memastikan program ini dapat direalisasikan.

Katanya, sokongan turut datang daripada pelbagai pihak termasuk Kementerian Kerja Raya Sabah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu serta jabatan dan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Tidak dilupakan juga penghargaan saya kepada operator Jaguh Bayu Sdn Bhd yang menjadi rakan pelaksana program ini,” tambahnya.

Beliau berkata, usaha ini jelas menunjukkan semangat kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam merealisasikan aspirasi rakyat untuk mendapatkan pengangkutan awam yang lebih baik.

Phoong juga mengucapkan terima kasih kepada komuniti Kota Kinabalu, pelajar sekolah, tetamu jemputan dan warga bandar raya yang hadir memberikan sokongan pada majlis bersejarah itu.

“Tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Pra-Pelancaran BAS.MY Kota Kinabalu. Saya yakin inisiatif ini akan memberi manfaat besar kepada rakyat dan menjadi titik tolak transformasi pengangkutan awam di Sabah,” katanya.

 

Sumber Warta Oriental

Exit mobile version