
LAHAD DATU: Seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol dua anak perempuannya sejak mereka masih bawah umur.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintenden Jimmy Panyau berkata, suspek ditahan pada 22 Mac lalu selepas kedua-dua mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Tawau.
Menurutnya, mangsa yang kini berusia 25 dan 22 tahun mendakwa sering diugut akan dipukul sekiranya enggan menurut kehendak suspek.
“Siasatan mendapati mangsa berusia 25 tahun mula menjadi mangsa sejak berusia 15 tahun, manakala mangsa berusia 22 tahun sejak berusia 18 tahun di beberapa lokasi sekitar Lahad Datu dan Tawau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek didakwa di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.
Katanya, bagi mangsa berusia 25 tahun, suspek berdepan lima pertuduhan, manakala bagi mangsa berusia 22 tahun pula melibatkan enam pertuduhan.
“Kes ini masih dalam siasatan lanjut dan pihak polis memandang serius kes seumpama ini,” katanya.


Leave feedback about this