Sabah First Info Blog Tempatan AWS perkasa peranan wanita di Sabah: Marlina
Tempatan Utama

AWS perkasa peranan wanita di Sabah: Marlina

KOTA KINABALU: Pertubuhan Aspirasi Wanita Sabah (AWS) memberi penekanan memperkasa peranan wanita bagi membolehkan mereka bersama-sama menyumbang secara signifikan untuk pembangunan negara.

Presidennya, Marlina Madjid berkata, bagi tujuan itu inisiatif utama diperkenal menerusi Majlis Pembangunan Wanita Negeri Sabah (MPWS) iaitu menggalakkan kesaksamaan gender dan memperkukuh undang-undang.

Katanya, ini bertujuan agar wanita dapat meningkatkan peluang dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, ekonomi dan kepimpinan.

“Antara sasaran utama AWS adalah  memastikan peningkatan penyertaan wanita dalam pelbagai bidang terutama melonjakkan pemerkasaan wanita melalui MPWS.

“Pelbagai usaha dan strategi dilaksanakan di pelbagai peringkat bagi memperkasa wanita di Sabah,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Marlina berkata, AWS akan melaksanakan program pemerkasaan wanita yang merangkumi empat aspek iaitu Wanita dan Ekonomi, Wanita Selamat, Wanita Sejahtera serta Wanita dan Kepimpinan.

“Aspek Wanita Dan Ekonomi merangkumi program penjanaan pendapatan bertujuan meningkatkan penyertaan wanita dalam aktiviti ekonomi membabitkan elemen keusahawanan, literasi kewangan dan ekonomi digital.

“Program ini dengan keanggotaan pelbagai latar belakang agama, bangsa, suku kaum dan keturunan jelas perlihatkan penerimaan wanita terhadap Pertubuhan Aspirasi Wanita yang akan meningkatkan bilangan penyertaan wanita dalam pasaran tenaga kerja sekali gus menjana pendapatan sampingan keluarga,” katanya.

Exit mobile version