Tempatan Utama

Menara Elektrik Tumbang Di Ranau, Dipercayai Punca Blackout Lapan Daerah Pantai Timur Sabah

Menara Elektrik Tumbang Di Ranau, Dipercayai Punca Blackout Lapan Daerah Pantai Timur Sabah

RANAU: Sebuah menara penghantaran elektrik dilaporkan tumbang di Ranau dan dipercayai menjadi punca gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan lapan daerah di Pantai Timur Sabah, pagi ini.

Menara terbabit difahamkan merupakan sebahagian daripada sistem grid penghantaran elektrik yang menghubungkan kawasan Pantai Barat dengan Pantai Timur Sabah.

Sistem berkenaan berfungsi menyalurkan bekalan elektrik ke beberapa daerah di Pantai Timur negeri ini.

Insiden itu dipercayai menyebabkan gangguan bekalan elektrik secara meluas, sekali gus menjejaskan pengguna di kawasan terlibat.

Bagaimanapun, punca sebenar kejadian serta maklumat lanjut mengenai keadaan menara berkenaan masih belum dapat dipastikan setakat ini.

Sabah Electricity sebelum ini memaklumkan bahawa usaha pemulihan bekalan elektrik sedang giat dilaksanakan secara berperingkat susulan gangguan pada sistem penghantaran yang berlaku kira-kira jam 6.04 pagi.

Bilik Gerakan turut diaktifkan bagi menyelaras kerja-kerja pemulihan, khususnya di kawasan Sandakan, Tawau dan Lahad Datu.

Sebarang perkembangan lanjut berhubung insiden menara tumbang dan punca sebenar gangguan bekalan elektrik itu masih menunggu pengesahan rasmi pihak Sabah Electricity.

Leave feedback about this

  • Rating