Tempatan Utama

Jeffrey Kitingan Cadang Jawatankuasa Khas, Kebajikan Penduduk Kampung Pondo Perlu Dijaga

Jeffrey Kitingan Cadang Jawatankuasa Khas, Kebajikan Penduduk Kampung Pondo Perlu Dijaga

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah disaran memastikan kediaman alternatif yang sesuai disediakan kepada keluarga yang layak sebelum sebarang tindakan perpindahan penduduk Kampung Pondo, Pulau Gaya dilaksanakan.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan berkata, sekiranya perpindahan diperlukan demi kepentingan awam, kebajikan penduduk yang terjejas perlu diberikan perhatian sewajarnya.

Beliau berkata, difahamkan majoriti penduduk yang terlibat merupakan warganegara Malaysia dan kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kebajikan mereka terpelihara.

Menurutnya, perpindahan boleh memberi kesan kepada mata pencarian, persekolahan anak-anak serta masa depan keluarga terbabit.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya Kerajaan Sabah menubuhkan Jawatankuasa Penempatan Semula dan Kebajikan Penduduk Pulau Gaya yang turut melibatkan wakil penduduk.

Katanya, tanggungjawab utama jawatankuasa berkenaan adalah memastikan setiap keluarga yang layak mendapat tempat tinggal bersesuaian sebelum proses perpindahan dilaksanakan.

Dalam perkembangan sama, Jeffrey menegaskan pendiriannya bahawa undang-undang imigresen Sabah perlu dikuatkuasakan dengan tegas terhadap pendatang tanpa izin (PATI).

Beliau berkata, individu yang disahkan berada di Sabah secara tidak sah perlu dikenakan tindakan mengikut undang-undang, termasuk dihantar pulang ke negara asal.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan dengan tetap menghormati hak asasi dan maruah setiap individu.

Sumber: TV Sabah

Leave feedback about this

  • Rating