Tempatan Utama

Hampir RM8 bilion untuk Sabah, kerajaan tunggu baki RM900 juta Persekutuan

KOTA KINABALU: Masalah bekalan air, elektrik dan jaringan jalan raya kekal menjadi keutamaan Kerajaan Sabah dalam penyediaan Belanjawan Negeri 2027 dengan peruntukan besar dijangka terus disalurkan bagi menangani isu infrastruktur asas berkenaan.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, usaha menyelesaikan masalah berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat menerusi perancangan dan pelaksanaan projek pembangunan.

Katanya, penyelesaian masalah bekalan air khususnya memerlukan perancangan jangka panjang berikutan beberapa projek berkaitan dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga tahun untuk disiapkan.

“Masalah bekalan air bukan sesuatu yang boleh diselesaikan dalam tempoh singkat. Kita perlu melihatnya dalam jangka masa panjang kerana pelaksanaan projek berkaitan mungkin mengambil masa antara dua hingga tiga tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Sambutan Hari Deepavali di Magellan Sutera Resort, di sini, hari ini.

Mengulas penyediaan Belanjawan Sabah 2027, Masidi berkata, kerajaan perlu mengambil kira kedudukan hasil negeri bagi memastikan anggaran perbelanjaan bersesuaian dengan kemampuan kewangan.

Katanya, pengurusan kewangan dan tata kelola yang baik penting bagi memastikan setiap peruntukan digunakan secara berhemah serta menepati keutamaan pembangunan negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, baki peruntukan tambahan sebanyak RM900 juta daripada Kerajaan Persekutuan dijangka meningkatkan jumlah keseluruhan peruntukan yang berpotensi diterima Sabah kepada hampir RM8 bilion.

Bagaimanapun, Masidi berkata, peruntukan tambahan itu masih dalam proses memenuhi prasyarat dan syarat yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, Kerajaan Negeri kini menunggu penyaluran peruntukan berkenaan dan berharap ia dapat diterima menjelang penghujung tahun ini.

Peruntukan tambahan itu akan dimanfaatkan bagi membiayai pembangunan negeri demi meningkatkan kesejahteraan serta memberikan manfaat kepada rakyat.

Leave feedback about this

  • Rating