
KOTA KINABALU: Agensi kerajaan perlu memperkukuh kerjasama dengan institusi kewangan, persatuan industri dan sektor swasta bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menangani pelbagai cabaran perniagaan.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, PKS memainkan peranan penting dalam ekonomi negeri kerana sektor itu menyediakan peluang pekerjaan serta menjadi sumber pendapatan masyarakat di bandar, daerah dan kawasan luar bandar.
Bagaimanapun, katanya, banyak PKS masih berdepan kesukaran mendapatkan akses kepada pembiayaan, teknologi dan pasaran lebih luas, selain peningkatan kos yang terus memberi tekanan kepada operasi perniagaan.
Menurutnya, penggunaan teknologi digital mampu membantu perniagaan mengatasi kekangan jarak dan lokasi, sekali gus membuka peluang kepada usahawan luar bandar untuk menjangkau pelanggan di luar komuniti mereka.
“Menerusi e-dagang, media sosial dan pembayaran digital, usahawan di kawasan luar bandar Sabah juga mampu menjangkau pelanggan di luar komuniti mereka.
“Kita juga perlu memastikan golongan wanita, belia dan perusahaan berasaskan komuniti mendapat sokongan serta peluang yang diperlukan untuk terus berkembang,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun pada majlis perasmian BIGSABAH Sale 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.
Hajiji berkata, penganjuran BIGSABAH Sale 2026 yang menghimpunkan pempamer dari 12 negara dan sembilan negeri di Malaysia mampu membantu PKS mengembangkan perniagaan masing-masing.
Katanya, kedudukan strategik Sabah dalam kawasan BIMP-EAGA turut menawarkan peluang perdagangan dengan Brunei Darussalam, Indonesia dan Filipina, khususnya dalam sektor pelancongan, pertanian, pengeluaran makanan, logistik dan perkhidmatan.
“Bagi memanfaatkan sepenuhnya peluang ini, perniagaan tempatan perlu terus meningkatkan kualiti produk, penjenamaan dan pembungkusan.
“Produk makanan tempatan, kraftangan, hasil pertanian dan perkhidmatan kita mempunyai potensi pasaran yang jauh lebih luas, bukan sahaja di Sabah tetapi juga di luar negeri ini,” katanya.
Beliau turut berharap penyertaan pempamer dari luar negara dan Semenanjung Malaysia dapat membantu mewujudkan hubungan perdagangan berkekalan, peluang pengedaran produk serta pelaburan.
Menurutnya, hubungan perniagaan dengan perniagaan (B2B) yang lebih kukuh perlu diwujudkan bagi membolehkan usahawan tempatan melangkaui aktiviti pameran produk kepada kerjasama strategik yang menyokong pertumbuhan jangka panjang.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, ketika kerajaan negeri berusaha mencapai sasaran empat juta ketibaan pelawat pada 2026 serta membuat persiapan menjelang Tahun Melawat Sabah 2027, keutamaan perlu diberikan kepada usaha memastikan pertumbuhan sektor pelancongan turut memberi manfaat kepada rakyat tempatan.
“Pertambahan jumlah pelawat seharusnya membawa lebih banyak peluang kepada peruncit, pengeluar makanan, penyedia perkhidmatan dan perniagaan berasaskan komuniti di Sabah.
“Di sinilah BIGSABAH Sale dapat menyumbang kepada usaha berkenaan. Kehadiran pempamer, pembeli dan pengunjung akan meningkatkan permintaan terhadap penginapan, pengangkutan, makanan serta pelbagai perkhidmatan tempatan.
“Manfaatnya juga boleh berterusan selepas acara ini berakhir apabila sesuatu pertemuan membawa kepada tempahan pembelian, perjanjian pengedaran atau pelaburan baharu,” katanya.
Hajiji turut menggalakkan semua pempamer memanfaatkan peluang berkenaan untuk bertemu pembeli, bertukar-tukar idea dan menjalin kerjasama perniagaan.
Beliau berharap tema ‘Across Markets, Beyond Borders’ menjadi inspirasi kepada usahawan Sabah untuk melangkah lebih jauh dengan penuh keyakinan.
Katanya, penganjuran BIGSABAH Sale 2026 diharap dapat memberikan hasil produktif dan kejayaan kepada semua pihak yang terlibat.


Leave feedback about this