Tempatan Utama

Ketua Menteri tekad pastikan empat DUN Tuaran terus dibangunkan

Hajiji mahu empat DUN di Tuaran terima limpahan pembangunan setara

TUARAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor mengulangi komitmennya untuk memastikan empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Tuaran menerima limpahan pembangunan yang setara dengan daerah lain di Sabah.

Beliau berkata, sebagai Ketua Menteri yang berasal dari Tuaran, menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan pembangunan bukan sahaja tertumpu di kawasan DUN Sulaman yang diwakilinya, malah turut melibatkan DUN Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu.

Menurutnya, beliau akan terus mencari jalan bagi membantu rakyat di daerah itu menerusi pembangunan infrastruktur, kemudahan asas dan aktiviti ekonomi yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

“Saya sentiasa mencari jalan untuk bantu pastikan kawasan Tuaran, khususnya Sulaman dan Pantai Dalit, termasuk juga Tamparuli dan Kiulu terus membangun dan maju.

“Kalau boleh kita mahu daerah Tuaran ini lebih maju atau setara pembangunannya dengan daerah lain di seluruh Sabah, lebih-lebih lagi ini adalah kawasan Ketua Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi DUN Sulaman dan DUN Pantai Dalit sesi 2026-2030 serta Penyerahan Bantuan Tunai kepada Peniaga dan Penjaja Tepi Jalan Tahun 2026 di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 48 Pengerusi JKKK DUN Sulaman dan 45 Pengerusi JKKK DUN Pantai Dalit menerima watikah pelantikan bagi tempoh perkhidmatan 2026 hingga 2030.

Majlis turut menyaksikan penyampaian bantuan tunai RM3,000 kepada 200 peniaga dan penjaja tepi jalan menerusi peruntukan Sentuhan Kasih Hajiji bagi tahun 2026.

Hajiji berkata, bantuan berkenaan merupakan tanda keprihatinannya terhadap golongan peniaga kecil yang berdepan cabaran kos sara hidup dan kos operasi dalam menjana pendapatan untuk keluarga.

Beliau berkata, program berkenaan turut selari dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), khususnya dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus diberi perhatian.

Sementara itu, Hajiji mengingatkan semua Pengerusi JKKK yang dilantik supaya melaksanakan amanah dengan sebaik-baiknya sebagai penghubung antara rakyat dan kerajaan.

Katanya, JKKK bukan sekadar berperanan dalam pelaksanaan projek pembangunan, tetapi turut bertanggungjawab memupuk perpaduan serta mengeratkan hubungan dalam kalangan penduduk di peringkat akar umbi.

Beliau berkata, aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, perjumpaan bersama penduduk dan program kemasyarakatan perlu diperkasakan bagi mewujudkan masyarakat kampung yang lebih bersatu padu.

“Tugas lebih besar bukan setakat melaksanakan projek, tapi banyak lagi aktiviti lain yang boleh memberi kesedaran kepada rakyat dan melakukan aktiviti yang membawa kemajuan.

“Contohnya berganding bahu dengan rakyat melalui aktiviti gotong-royong di kampung. Ini boleh diusahakan kerana ia boleh merapatkan silaturahim sesama kita,” katanya.

Leave feedback about this

  • Rating