Tempatan Utama

Kota Kinabalu Juara Keseluruhan MSS Sabah 2026, Atlet Muda Digalak Ke Pentas Lebih Tinggi

Atlet Boling Muda Sabah Digalak Cipta Nama di Peringkat Lebih Tinggi

KOTA KINABALU: Kontinjen Kota Kinabalu muncul juara keseluruhan Kejohanan Boling Tenpin Majlis Sukan Sekolah Sabah (MSS Sabah) 2026 selepas mengungguli semua kategori yang dipertandingkan.

Kejayaan itu diumumkan pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah kejohanan yang berlangsung di KK Galaxy Bowl, Centre Point, Kota Kinabalu, pada Khamis.

Majlis penutupan disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Mohammad Ghazali Hajiji.

Dalam ucapannya, Ghazali berkata kejohanan itu bukan sekadar medan pertandingan, malah menjadi platform penting membangunkan modal insan berkualiti menerusi sukan.

Beliau berkata, sukan berperanan membentuk sahsiah, memupuk perpaduan, menyemai disiplin dan melahirkan generasi muda yang berdaya tahan.

“Di gelanggang sukan, anak-anak kita belajar menghormati peraturan, menghargai usaha, menerima kekalahan dengan hati terbuka dan meraikan kemenangan dengan penuh rendah diri,” katanya.

Menurutnya, atlet muda yang menyertai kejohanan itu bukan sahaja berpotensi menjadi juara sukan, malah mampu muncul sebagai pemimpin, golongan profesional dan individu yang menyumbang kepada pembangunan Sabah serta negara.

Katanya, pembangunan negeri yang mampan perlu bermula dengan pembangunan modal insan berkualiti melalui penyertaan aktif murid dalam bidang kokurikulum dan sukan.

Beliau berkata, usaha memperluaskan penyertaan murid akan terus diperkukuhkan menerusi kerjasama antara Kerajaan Negeri Sabah, Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, sekolah dan agensi berkaitan.

Ghazali berharap kejohanan seperti itu terus diperkasakan sebagai platform mencungkil bakat baharu serta melahirkan lebih ramai atlet yang mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.

“Lebih penting lagi, kita mahu melihat anak-anak Sabah terus melakar kejayaan di peringkat Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), kebangsaan dan seterusnya mengibarkan Jalur Gemilang di pentas antarabangsa,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dan mengingatkan peserta yang belum berjaya agar terus berusaha kerana kejayaan bukan hanya diukur melalui pingat, tetapi juga disiplin, kesungguhan, integriti dan semangat untuk terus memperbaiki diri.

Kejohanan yang berlangsung dari 3 hingga 6 Ogos itu menghimpunkan atlet sekolah dari 12 daerah iaitu Keningau, Kota Belud, Sandakan, Kota Kinabalu, Penampang, Tuaran, Tambunan, Kinabatangan, Papar, Beaufort, Pitas dan Kota Marudu.

Pertandingan melibatkan kategori bawah 12, bawah 15 dan bawah 18 tahun bagi peserta lelaki dan perempuan.

Ghazali turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran, SK Pekan Telipok selaku sekolah pengelola, Majlis Sukan Sekolah Sabah serta semua jawatankuasa pelaksana yang menjayakan penganjuran kejohanan itu dengan teratur dan profesional.

Leave feedback about this

  • Rating