
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menerusi Kementerian Kerja Raya dan Utiliti (KKRU) sedang giat memasang Bailey Bridge di lokasi jambatan rosak di Km2.85 Jalan Tun Fuad Stephen, Tanjung Lipat, sebagai langkah segera memulihkan semula laluan berkenaan.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, pemasangan jambatan sementara itu bertujuan memastikan pergerakan pengguna jalan raya kembali lebih lancar, selesa dan selamat sementara penyelesaian jangka panjang dilaksanakan.
Menurut beliau, berdasarkan perkembangan semasa di tapak, proses pemasangan Bailey Bridge dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga minggu bergantung kepada keadaan cuaca dan faktor teknikal di lokasi.
“Kerja-kerja pemasangan Bailey Bridge sedang giat dilaksanakan di lokasi jambatan rosak di Km2.85 Jalan Tun Fuad Stephen (Tanjung Lipat).
“Pemasangan jambatan sementara ini merupakan langkah segera bagi memulihkan semula laluan dan memastikan pergerakan pengguna jalan raya lebih efektif, lebih selesa dan selamat sementara penyelesaian jangka panjang dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr. Joachim berkata, KKRU melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah komited memastikan projek itu disiapkan secepat mungkin demi kepentingan dan keselamatan semua pengguna jalan raya.
Beliau turut memohon orang ramai agar terus bersabar sepanjang tempoh pelaksanaan kerja serta mematuhi semua arahan dan papan tanda keselamatan yang disediakan di kawasan pembinaan.
“Kementerian Kerja Raya dan Utiliti bersama JKR Sabah akan memastikan kerja-kerja ini disiapkan secepat mungkin demi kepentingan dan keselamatan semua pengguna jalan raya.
“Segala kesulitan yang dialami amatlah dikesali dan kami menghargai kerjasama serta kesabaran semua pihak sepanjang pelaksanaan kerja ini,” katanya.


Leave feedback about this