
64 PATI Indonesia Dipindahkan Pulang Melalui Pelabuhan Tawau
TAWAU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah meneruskan Program Pemindahan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) apabila seramai 64 warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal melalui Pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia, menggunakan perkhidmatan feri komersial.
JIM Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, kesemua tahanan terbabit dipindahkan dari Depot Imigresen Tawau selepas selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang serta memiliki Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) yang sah.
Daripada jumlah itu, 51 adalah lelaki dewasa, 10 perempuan dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan berusia antara 15 hingga 66 tahun. Kanak-kanak yang mengikuti program itu turut diiringi ibu bapa atau penjaga masing-masing.
Sebelum ini, pada 27 Julai lalu, Depot Imigresen Tawau turut memindahkan 43 warga Indonesia melalui laluan dan pengangkutan yang sama.
Menurut kenyataan itu, sehingga kini seramai 4,399 tahanan PATI telah dipindahkan ke negara asal masing-masing, melibatkan 2,849 warga Filipina, 1,314 warga Indonesia, 108 warga Pakistan, 91 warga China, 18 warga Vietnam dan 19 individu daripada lain-lain warganegara.
JIM Sabah turut menyeru orang ramai supaya tidak bersekongkol melindungi atau menggaji PATI serta segera menyalurkan maklumat mengenai kegiatan pendatang tanpa izin melalui saluran rasmi jabatan.


Leave feedback about this