Tempatan Utama

JPN Sabah: Murid Terjatuh di Sekolah Papar Stabil, Tiada Unsur Jenayah atau Buli

KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah mengesahkan telah mengambil tindakan segera susulan insiden seorang murid yang terjatuh di sebuah sekolah di Papar baru-baru ini.

Dalam kenyataan media hari ini, JPN Sabah memaklumkan pihak sekolah telah memberikan bantuan awal kepada mangsa, memaklumkan kejadian kepada keluarga dan polis, serta mengawal kawasan kejadian bagi mengelakkan suasana panik.

Menurut JPN Sabah, mangsa telah menerima pemeriksaan dan rawatan di hospital. Berdasarkan laporan perubatan, mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan kini berada dalam keadaan stabil.

JPN Sabah turut memaklumkan kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan emosi mangsa terus dipantau, selain sokongan psikososial diberikan kepada mangsa serta warga sekolah yang terkesan.

Sementara itu, JPN Sabah akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan yang sedang dijalankan. Siasatan awal pihak sekolah mendapati tiada unsur jenayah atau kejadian buli dalam insiden berkenaan.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan serta menjejaskan kesejahteraan mangsa, keluarga dan warga sekolah.

Leave feedback about this

  • Rating