
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri sedang mengadakan libat urus bersama Kementerian Kewangan (MoF) dan agensi Persekutuan berkaitan bagi mempertimbangkan penambahbaikan mekanisme pelaksanaan program subsidi diesel bersasar di Sabah yang mula berkuat kuasa pada 1 Julai lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, satu mesyuarat susulan melibatkan agensi Kerajaan Negeri, MoF serta agensi Persekutuan berkaitan akan diadakan pada 17 Julai ini dan dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah.
Beliau berkata, pelaksanaan program subsidi diesel bersasar di Sabah turut dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Negeri pada 13 Julai lalu.
Menurutnya, Kerajaan Negeri memandang serius pelbagai isu yang dibangkitkan oleh pihak berkepentingan berhubung pelaksanaan program berkenaan.
“MoF dan agensi kerajaan berkaitan telah diminta meneliti dengan lebih lanjut isu-isu yang dibangkitkan serta mempertimbangkan cadangan yang sesuai bagi menangani kebimbangan dan masalah yang dihadapi oleh pihak-pihak yang terkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sumber Warta Oriental


Leave feedback about this