
KOTA KINABALU: Integriti dalam kalangan pemimpin masyarakat menjadi faktor utama yang menentukan sama ada rakyat terus menaruh keyakinan terhadap kerajaan, kata Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah, Datuk Awang Kadin Tang.
Beliau berkata, setiap pemimpin perlu melaksanakan amanah dengan penuh kejujuran dan mengelakkan sebarang penyalahgunaan kuasa atau jawatan demi kepentingan peribadi kerana tindakan sedemikian boleh menjejaskan kepercayaan rakyat.
Menurutnya, pemimpin masyarakat memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat, selain bertanggungjawab menyampaikan dasar serta inisiatif Kerajaan MADANI dan Kerajaan Negeri Sabah secara tepat kepada masyarakat.
“Jangan biarkan media sosial menjadi sumber maklumat utama sehingga fakta bercampur dengan fitnah. Pemimpin perlu turun padang, mendengar sendiri suara rakyat dan menjelaskan segala usaha yang telah, sedang dan akan dilaksanakan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI Peringkat Komuniti di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu, hari ini.
Awang Kadin turut menegaskan bahawa integriti bukan hanya berkaitan rasuah, malah merangkumi kejujuran, keadilan, keberanian mempertahankan kebenaran serta melaksanakan amanah tanpa mengharapkan balasan.
Seminar anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dengan kerjasama UPPM Sabah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) itu menghimpunkan lebih 1,350 peserta terdiri daripada Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM), Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri, Ketua Kampung, Ketua Masyarakat Cina, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Dalam Bandar (JKDB) serta warga kerja UPPM Sabah.
Beliau mengingatkan bahawa kepercayaan rakyat mengambil masa yang lama untuk dibina, namun boleh musnah hanya dengan satu penyalahgunaan kuasa, justeru semua pemimpin perlu terus berkhidmat dengan amanah, berdisiplin dan penuh hikmah demi memastikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan kekal kukuh.
Sumber Warta Oriental


Leave feedback about this