
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyambut baik keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menawarkan 560 jawatan tetap Pegawai Perubatan di negeri ini bermula Oktober depan, yang disifatkan sebagai langkah penting bagi mengatasi kekurangan tenaga kesihatan.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, penambahan jawatan itu mencerminkan keprihatinan Kerajaan Persekutuan terhadap keperluan mendesak Sabah yang sekian lama berdepan kekurangan pegawai perubatan, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Beliau berkata, selain pengambilan kakitangan baharu, usaha mengekalkan pegawai perubatan yang berkhidmat di Sabah juga perlu diberi perhatian melalui penyediaan insentif dan sokongan yang lebih baik.
Menurutnya, antara cadangan yang wajar dipertimbangkan ialah memperkukuh Bayaran Insentif Wilayah (BIW), meningkatkan sokongan kepada petugas kesihatan di kawasan luar bandar serta mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif.
“Pengambilan kakitangan merupakan langkah penting, namun pengekalan mereka juga sama kritikal. Profesional kesihatan yang memilih untuk berkhidmat di Sabah perlu diberikan sokongan bagi membina kerjaya jangka panjang di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Julita turut menegaskan kerajaan negeri komited untuk terus bekerjasama dengan KKM bagi memperkukuh sistem perkhidmatan kesihatan di Sabah, termasuk menangani kekurangan tenaga kerja dan meningkatkan akses rakyat kepada kemudahan kesihatan berkualiti.
Beliau berharap penambahan 560 jawatan tetap itu mampu mengurangkan tekanan akibat kekurangan kakitangan di fasiliti kesihatan serta memperluaskan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih cekap dan berkualiti di seluruh Sabah, terutama di kawasan yang kurang mendapat liputan.


Leave feedback about this