Tempatan Utama

Masiung Gesa Kuota BUDI Diesel Sabah, Sarawak Dinaikkan Kepada 500 Liter

BELURAN: Kerajaan Persekutuan digesa mengkaji semula pelaksanaan subsidi bersasar BUDI Diesel di Sabah dan Sarawak dengan meningkatkan kuota subsidi daripada 200 liter kepada antara 300 hingga 500 liter sebulan bagi setiap kenderaan.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (Backbenchers) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Masiung Banah, berkata kuota sedia ada tidak sesuai dengan keadaan geografi Sabah dan Sarawak yang mempunyai kawasan luas serta jarak perjalanan yang jauh.

Menurutnya, pelaksanaan dasar itu perlu mengambil kira realiti kehidupan rakyat di kedua-dua negeri supaya matlamat subsidi bersasar benar-benar memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan.

“Kuota 200 liter tidak praktikal bagi Sabah dan Sarawak kerana bentuk muka bumi serta jarak perjalanan di sini tidak boleh disamakan dengan negeri-negeri di Semenanjung.

“Kita menghormati usaha kerajaan mengurangkan ketirisan subsidi diesel, namun dasar itu perlu diperhalusi supaya tidak membebankan rakyat di wilayah Borneo,” katanya selepas menghadiri Majlis Kesyukuran Pengundi Luar Kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) DUN Kuamut di Dewan Kampung Tonoting, Ulu Sapi, Nangoh.

Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata, syarat kelayakan BUDI Diesel turut perlu dilonggarkan kerana masih ramai penduduk luar bandar gagal menikmati subsidi berkenaan.

Katanya, ramai petani dan penduduk pedalaman menggunakan kenderaan yang didaftarkan atas nama syarikat atau dibeli secara sambung bayar, sekali gus menyebabkan mereka tidak layak memohon subsidi walaupun benar-benar memerlukan bantuan.

Beliau turut mencadangkan supaya mekanisme subsidi diesel diselaraskan dengan subsidi petrol bagi memudahkan rakyat mendapatkan manfaat program berkenaan.

Menurutnya, penggunaan diesel di kawasan pedalaman jauh lebih tinggi berbanding di Semenanjung kerana jarak perjalanan yang panjang.

Sebagai contoh, katanya, perjalanan dari Kuamut ke Kota Kinabalu mengambil masa antara lima hingga enam jam, manakala perjalanan ulang alik boleh menggunakan sehingga 200 liter diesel.

Masiung berkata, kawasan Kuamut yang lebih besar daripada negeri Kedah dan hampir menyamai keluasan Johor menggambarkan cabaran sebenar yang dihadapi penduduk pedalaman.

Beliau menambah, masih banyak kawasan di pedalaman Sabah belum menikmati kemudahan jalan raya dan bekalan elektrik, menyebabkan penduduk bergantung kepada bot sebagai pengangkutan serta generator diesel untuk menjana bekalan elektrik.

“Golongan ini tidak menikmati subsidi BUDI Diesel dan terpaksa membeli diesel pada harga pasaran RM3.97 seliter, sekali gus meningkatkan kos sara hidup mereka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan Persekutuan dapat meneliti semula pelaksanaan BUDI Diesel dengan mengambil kira keadaan geografi serta keperluan sebenar rakyat Sabah dan Sarawak supaya dasar itu lebih adil dan berkesan.

 

Leave feedback about this

  • Rating