Tempatan Utama

22,000 Permohonan Kuota Tambahan BUDI Diesel Diluluskan di Sabah, Sarawak dan Labuan

22,000 Permohonan Kuota Tambahan BUDI Diesel Diluluskan di Sabah, Sarawak dan Labuan

KOTA KINABALU, 5 Julai – Sebanyak 22,000 permohonan kuota tambahan 100 liter diesel bagi pemilik kenderaan di Sabah, Sarawak dan Labuan telah diluluskan di bawah inisiatif BUDI Diesel.

Menteri Kewangan II, berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada lebih 200,000 permohonan yang diluluskan di seluruh negara, sekali gus meningkatkan kuota diesel bersubsidi daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan.

Menurut beliau, kerajaan menetapkan kuota asas sebanyak 200 liter sebulan, namun menyediakan mekanisme permohonan tambahan bagi memenuhi keperluan pengguna yang menggunakan diesel dalam jumlah lebih tinggi, termasuk peniaga dan penduduk kawasan pedalaman.

Selain itu, kerajaan turut memperkenalkan kemudahan pemindahan kuota daripada pemilik berdaftar kepada pengguna sebenar kenderaan. Langkah itu diambil susulan maklum balas bahawa terdapat kenderaan yang digunakan oleh ahli keluarga walaupun didaftarkan atas nama individu lain.

Beliau berkata, ahli keluarga kini boleh memohon agar kuota dipindahkan kepada pengguna sebenar yang layak bagi memastikan subsidi disalurkan kepada mereka yang benar-benar menggunakan kenderaan tersebut.

Sejak dilaksanakan pada 27 Jun lalu, inisiatif BUDI Diesel telah memberi manfaat kepada lebih 238,000 pengguna di seluruh negara. Kerajaan juga sedang meneliti beberapa cadangan penambahbaikan lain bagi memastikan pelaksanaan program itu lebih berkesan.

Mengulas mengenai impak kewangan, Amir Hamzah berkata masih terlalu awal untuk menentukan jumlah penjimatan yang dicapai kerana data transaksi masih dalam proses pengumpulan dan pengesahan. Bagaimanapun, maklum balas daripada pengusaha stesen minyak menunjukkan terdapat sedikit penurunan jualan diesel, yang dipercayai berpunca daripada pengurangan pembelian oleh individu yang tidak lagi layak menerima subsidi.

Beliau yakin pelaksanaan BUDI Diesel mampu menjana penjimatan yang signifikan kepada kerajaan, sekali gus membolehkan dana tersebut disalurkan semula kepada rakyat menerusi pelbagai bentuk bantuan.

Sumber BERNAMA

Leave feedback about this

  • Rating