Tempatan Utama

iPhone 13 Pro Bantu Polis Tahan Suspek Kes Pecah Rumah di Kalabakan

iPhone 13 Pro Bantu Polis Tahan Suspek Kes Pecah Rumah di Kalabakan

TAWAU, 29 Jun – Tindakan pantas polis bersama penggunaan aplikasi penjejak telefon berjaya membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kes pecah rumah di Kampung Rancangan Kalabakan, di sini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt, berkata suspek berusia lingkungan 20 tahun itu ditahan dalam serbuan di kawasan Kilang Sawit Felda Kalabakan selepas polis menerima laporan daripada mangsa.

Menurutnya, mangsa hanya menyedari kehilangan telefon bimbit jenis iPhone 13 Pro miliknya selepas menunaikan solat Subuh sebelum menggunakan aplikasi penjejak yang menunjukkan telefon tersebut berada di kawasan Felda Kalabakan.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota Balai Polis Kalabakan menjalankan serbuan dan berjaya menahan suspek serta merampas telefon bimbit yang dipercayai merupakan barang kes,” katanya dalam satu kenyataan.

Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Kalabakan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah. Semakan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Wilynton berkata kejayaan itu membuktikan komitmen Polis Daerah Tawau dalam bertindak pantas menyelesaikan kes jenayah harta benda.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa meningkatkan tahap keselamatan kediaman dengan memastikan pintu dan tingkap ditutup serta dikunci bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

Leave feedback about this

  • Rating