Tempatan Utama

UPKO Sah Jadi Ahli GRS, Kukuhkan Parti Tempatan Sabah

KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Hajiji Noor, mengumumkan Majlis Tertinggi GRS sebulat suara bersetuju menerima United Progressive Kinabalu Organisation (UPKO) sebagai ahli gabungan baharu GRS berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata, keputusan itu selaras dengan perjuangan GRS yang berteraskan konsep “Sabah First, Sabah United” serta usaha memperkukuh kedudukan parti-parti tempatan di negeri ini.

Menurutnya, penyertaan UPKO akan menambah kekuatan gabungan berkenaan dalam usaha mewujudkan kestabilan kerajaan negeri yang sedia ada.

“Majlis Tertinggi GRS telah bersetuju sebulat suara menerima UPKO sebagai ahli gabungan baharu GRS. Dengan penerimaan ini, ia sejajar dengan perjuangan GRS sendiri iaitu ‘Sabah First, Sabah United’ dan untuk memberi kekuatan kepada parti-parti gabungan tempatan ini.

“Kita mahu mewujudkan kestabilan kerajaan di peringkat negeri yang sedia ada,” katanya.
Hajiji berkata, keputusan menerima UPKO dibuat dengan persetujuan semua parti komponen dan perkara itu akan dimaklumkan secara rasmi kepada parti berkenaan.

Mengulas persiapan menghadapi pilihan raya akan datang, beliau menegaskan GRS akan memberi keutamaan kepada calon yang mempunyai peluang terbaik untuk memenangi kerusi yang ditandingi.
“Kita akan cari siapa yang boleh menang. Itu pendirian GRS,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa semua parti komponen GRS ketika ini menggunakan lambang GRS, manakala sebarang keputusan melibatkan rakan-rakan lain dalam kerajaan bagi menghadapi pilihan raya masih belum dimuktamadkan.

Sumber Warta Oriental

Leave feedback about this

  • Rating