
KOTA KINABALU: Tragedi Double Six yang kini genap 50 tahun terus dikenang menerusi satu upacara peringatan yang berlangsung di Tugu Peringatan Double Six, Sembulan, hari ini.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku sebelum semua hadirin bertafakur selama seminit bagi memperingati mangsa yang terkorban dalam tragedi bersejarah itu.
Upacara diteruskan dengan peletakan karangan bunga yang didahului wakil Ketua Menteri, Datuk Ceaser Mandela Malakun, diikuti ahli keluarga mangsa tragedi.
Antara waris yang mengambil bahagian ialah wakil keluarga Tun Datuk Mohd Fuad Stephens, Asgari Stephens; wakil keluarga Allahyarham Datuk Salleh Sulong, Kartina Salleh Sulong; wakil keluarga mendiang Datuk Peter Mojuntin, Jeremiah Joinod Peter Mojuntin; wakil keluarga mendiang Datuk Chong Thain Vun; serta wakil keluarga mendiang Datuk Darus Binion, Datin Jikilin Darius Binion.
Pada majlis sama, turut diadakan penyampaian hadiah pertandingan Kreatif Potret Tokoh Pemimpin Sabah 2026.
Hadir sama ialah Datuk Sr. Lifred Wong, Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Sabah ACP Cyril Edward Nuing @ Hillary serta Penolong Ketua Pegawai Eksekutif suteraharbour.com�, Gerry Druz.
Tragedi Double Six merujuk kepada nahas pesawat GAF Nomad 9M-ATZ yang berlaku pada 6 Jun 1976 dan mengorbankan Tun Fuad Stephens bersama 10 individu lain termasuk beberapa anggota kabinet negeri, menjadikannya antara peristiwa paling tragis dalam sejarah Sabah.


Leave feedback about this