Tempatan Utama

UMS Tegas Suara Mahasiswa Tidak Wakili Universiti Dalam Isu Tanah Kampung Asaon Matunggong’

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah menegaskan kenyataan dan tindakan kumpulan pelajar yang menggelar diri mereka sebagai Suara Mahasiswa UMS berhubung isu pertindihan tanah di Kampung Asaon, Matunggong tidak mewakili pendirian rasmi pengurusan tertinggi universiti itu.

Dalam kenyataan hari ini, UMS memaklumkan pihak pengurusan mengambil maklum mengenai aktiviti turun padang dan kenyataan yang dikeluarkan kumpulan mahasiswa terbabit berkaitan isu berkenaan.

Menurut UMS, sebarang kenyataan, tindakan atau pendirian yang dizahirkan kumpulan mahasiswa tersebut adalah atas kapasiti peribadi dan bukan mewakili dasar, pandangan rasmi universiti mahupun lebih 22,000 mahasiswa aktif UMS.

UMS turut menegaskan pihaknya menghormati hak kebebasan bersuara dan kebebasan akademik, namun pelaksanaannya perlu dibuat secara bertanggungjawab selaras dengan undang-undang, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) serta peraturan universiti yang berkuat kuasa.

Universiti itu turut mengingatkan mahasiswa supaya setiap program aktivisme, kesedaran awam atau khidmat komuniti di luar kampus berpaksikan fakta sahih, mematuhi undang-undang serta menjaga nama baik universiti.

Selain itu, mahasiswa juga diseru menghormati adat resam setempat, menjaga sensitiviti masyarakat serta memelihara keharmonian komuniti.

Pada masa sama, UMS mengingatkan semua pihak agar menghormati peranan institusi penguat kuasa dalam memastikan ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.

Leave feedback about this

  • Rating