
KOTA KINABALU: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya memperoleh peruntukan sebanyak RM1.5 juta daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memperkasa kebajikan serta pembangunan mahasiswa universiti berkenaan.
Presiden MPP UMS, Allen Paul Justinus Situ berkata, peruntukan itu diluluskan susulan penyerahan memorandum kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abd Kadir sempena lawatan kerja beliau ke Dapur Siswa Madani UMS pada Ahad lalu.
Menurut beliau, memorandum tersebut menggariskan tiga kluster utama iaitu merapatkan jurang infrastruktur dan digital antara UMS dengan universiti awam di Semenanjung Malaysia, pemodenan fasiliti pembelajaran praktikal serta jaminan kestabilan bekalan asas dan ketahanan infrastruktur kampus.
Katanya, daripada keseluruhan cadangan itu, sebanyak RM1.5 juta diluluskan serta-merta di bawah Kluster B yang memberi tumpuan kepada pemodenan makmal dan peningkatan kebolehpasaran graduan.
“Dana ini bertujuan mengatasi kekangan akses kepada peralatan makmal serta mempertingkatkan prasarana teknologi maklumat di kampus.
“Langkah ini dijangka memberi impak positif secara langsung kepada kualiti pembelajaran pelajar dan seterusnya meningkatkan daya saing graduan UMS dalam pasaran kerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Allen turut merakamkan penghargaan kepada pihak kementerian atas keprihatinan terhadap keperluan mahasiswa.
“Peruntukan ini adalah satu berita gembira buat seluruh warga UMS dan membuktikan keberkesanan peranan MPP sebagai suara mahasiswa dalam ekosistem pendidikan universiti,” ujarnya.
Untuk rekod, MPP UMS merupakan badan rasmi yang mewakili suara mahasiswa serta bertindak sebagai penghubung antara pelajar dan pihak pengurusan universiti, selain memperjuangkan kebajikan dan pembangunan holistik mahasiswa di kampus.
Sumber NabaluNews


Leave feedback about this