Tempatan Utama

Sandakan: 2,100 Liter Diesel Dirampas, Dua Lelaki Ditahan

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin Malaysia (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menahan dua lelaki tempatan serta merampas 2,100 liter minyak diesel dalam satu operasi di Kampung Batu 11, Jalan Seguntor, semalam.

Serbuan yang dijalankan sekitar jam 2.45 petang itu mendapati diesel berkenaan dipercayai sedang dipindahkan dari sebuah lori ke tangki skid bagi tujuan penyelewengan subsidi. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM12,537.

Selain bahan api, pihak berkuasa turut menyita sebuah lori 10 tan jenis Nissan bersama beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pemindahan minyak tersebut.

Menurut PPM Wilayah 4 Sabah, operasi berkenaan dijalankan hasil maklumat risikan dan pemeriksaan lanjut di lokasi mendapati wujud aktiviti mencurigakan melibatkan diesel bersubsidi.

Kedua-dua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan, manakala kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

PPM menegaskan akan terus memperketat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang bentuk penyelewengan barangan bersubsidi di negeri ini.

Leave feedback about this

  • Rating