
TAWAU,- Seorang wanita warga emas berdepan detik cemas apabila diugut dengan sebilah gunting oleh seorang lelaki yang mengamuk dalam kejadian di Kampung Hidayat, Batu 4 Jalan Apas, di sini.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 58 tahun dikatakan menegur suspek yang menyalakan lilin di ruang tamu rumah pada waktu siang sebelum lelaki berkenaan bertindak agresif dan mengacukan gunting ke arahnya.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, berkata Pusat Kawalan Daerah (DCC) menerima maklumat berhubung kejadian tersebut sebelum mengarahkan pasukan rondaan MPV ke lokasi untuk tindakan segera.
“Setiba di lokasi, sepasukan polis peronda MPV dari Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Tawau berjaya mengesan suspek, seorang lelaki berusia kira-kira 35 tahun.
“Polis turut merampas sebilah gunting yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.


Leave feedback about this