
SANDAKAN: Seorang lelaki warga asing dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah memiliki hasil hutan tanpa kebenaran sah, melibatkan sembilan batang kayu bakau.
Tertuduh, Ren Ahmad, 42, yang bekerja sebagai nelayan, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roslinda Razali.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki berkenaan didapati memiliki kayu bakau tanpa dokumen sah di Sungai Batu Putih kira-kira jam 3.30 petang pada 12 Mac lalu.
Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 30(1)(g)(iii) Enakmen Hutan 1968 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 30(2)(b) enakmen sama.
Bagi kesalahan tersebut, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Perhutanan, Elrimeo Emin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Leave feedback about this