
KOTA KINABALU: Hak 40 peratus hasil Sabah tidak boleh terus dilengah-lengahkan dengan alasan teknikal, termasuk keputusan ‘stay of execution’ oleh mahkamah.
Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun menegaskan bahawa tindakan menangguhkan rundingan hanya mencerminkan kegagalan politik untuk menghormati hak yang telah lama termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Jangan jadikan mahkamah sebagai alasan untuk tidak bertindak. ‘Stay’ bukan bermaksud rundingan juga perlu dihentikan.
“Jika benar ada kesungguhan politik, rundingan mesti berjalan tanpa henti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, rakyat Sabah sudah terlalu lama menunggu hak yang sepatutnya dinikmati sejak dahulu lagi, namun terus dinafikan melalui pelbagai alasan yang tidak munasabah.
Beliau turut mengingatkan bahawa kegagalan menunaikan hak Sabah adalah satu bentuk pengabaian terhadap rakyat negeri ini yang juga merupakan sebahagian daripada Malaysia.
Mengulas isu subsidi diesel yang dipolitikkan oleh segelintir pihak, beliau menolak keras naratif bahawa Sabah dan Sarawak menerima subsidi atas faktor politik semata-mata.
“Itu kenyataan tidak bertanggungjawab dan berniat memesongkan fakta. Hakikatnya, hasil minyak datang dari bumi Sabah dan Sarawak.
“Jadi jangan pertikaikan hak kami untuk menerima manfaat daripada sumber sendiri,” katanya.
Beliau turut membidas pihak yang mempertikaikan keistimewaan Sabah tanpa memahami realiti sebenar kos sara hidup di negeri ini.
Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan bahawa Sabah wajar diberikan tambahan kerusi Parlimen bagi mencerminkan keluasan negeri dan keperluan rakyat yang semakin meningkat.
“Jika benar mahu berlaku adil, Sabah bukan sahaja perlu pertahankan 25 kerusi sedia ada, malah wajar ditambah. Kita sepatutnya menghampiri prinsip satu pertiga bersama Sarawak,” katanya.
Beliau turut menuntut agar penambahan kerusi tersebut membuka ruang lebih besar kepada kepimpinan wanita.
Beliau menegaskan perjuangan hak Sabah tidak akan berhenti dan akan terus diperjuangkan sehingga mendapat keadilan yang sewajarnya.
Utusan Borneo


Leave feedback about this