Tempatan Utama

Lumba Lari Jadi Medan Judi, Polis Gempur Op Bersepadu di Keningau

KENINGAU: Kegiatan lumba lari haram di jalan raya awam menerima padah apabila Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau melaksanakan Ops Bersepadu di kawasan Bandar Baru Bataras, di sini, malam Sabtu lalu.

Operasi bermula jam 11.30 malam hingga 3 pagi itu membabitkan seramai 36 pegawai dan anggota daripada pelbagai bahagian termasuk Siasatan Jenayah, Narkotik serta Trafik.

Dalam serbuan berkenaan, seorang lelaki ditahan mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas dipercayai memiliki dadah jenis Methamphetamine selain minuman air ketum.

Turut ditahan, 10 lelaki di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah ketika pemeriksaan dijalankan.
Sepanjang operasi itu, polis turut memeriksa 130 individu serta 105 kenderaan dan mengeluarkan 25 saman atas pelbagai kesalahan trafik.

 

Ketua Polis Daerah Keningau, SUPT Yampil Anak Garai berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang boleh mengancam keselamatan awam dan akan terus mempergiat operasi bagi membanteras kegiatan tidak sihat khususnya dalam kalangan belia di daerah ini.

Leave feedback about this

  • Rating