
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan kehadiran pelabur asing, khususnya dari Republik Rakyat China bagi meneroka peluang pelaburan strategik di Sabah demi merancakkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan mampan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, Sabah memiliki potensi besar merangkumi pelbagai sektor utama termasuk industri minyak dan gas, tenaga, ekonomi biru, pelancongan, pertanian moden serta industri berkaitan teknologi hijau.
Menurutnya, kerjasama pelaburan dengan China mampu memberi manfaat bersama, terutama dari segi pemindahan teknologi, penciptaan peluang pekerjaan serta pembangunan rantaian ekonomi tempatan.
“Sabah sentiasa terbuka kepada pelabur asing yang berminat untuk melabur di negeri ini kerana terdapat banyak sektor ekonomi berpotensi yang boleh diterokai secara bersama dan berdaya maju untuk jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Dr. Zhu Xinglong bersama pegawainya di pejabat Ketua Menteri di Menara Kinabalu.

Dalam pertemuan itu, Hajiji turut menyatakan harapan agar Pejabat Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu dapat membantu mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelaburan kondusif dalam kalangan komuniti perniagaan dan pelabur dari China.
Sementara itu, Zhu memberi taklimat berhubung pelbagai program dan aktiviti yang dilaksanakan bagi memperkukuh hubungan diplomatik, ekonomi dan kebudayaan antara Sabah dan China.
Beliau turut menjemput Hajiji menghadiri beberapa majlis rasmi anjuran Pejabat Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu pada tahun hadapan selain menyampaikan jemputan lawatan rasmi ke beberapa wilayah di China bagi meneroka potensi kerjasama yang lebih luas.
Turut hadir, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.


Leave feedback about this