
KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya dan Utiliti komited dalam meningkatkan perkhidmatan bekalan air, dengan memperkasakan peruntukan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang berjumlah RM848 juta di bawah Belanjawan Sabah 2026.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam berkata, peruntukan berkenaan bagi melaksanakan program penyelesaian segera dan jangka pendek.
Katanya, ia bertujuan meningkatkan kapasiti dan keberkesanan sistem bekalan air seperti projek pembangunan bekalan air jangka panjang dan berimpak tinggi dan program penambahan kapasiti bekalan air di seluruh Sabah.
Menurutnya, Program ‘Building Facility Maintenance Work’ dalam Loji Rawatan Air (LRA) di bawah seliaan JANS, program penyelenggaraan mekanikal dan elektrikal di LRA dan rumah pam turut diperkasakan.
“Kementerian juga komited untuk menyediakan perkhidmatan pembetungan yang lebih efisien, efektif dan menyeluruh di negeri ini.
“Di bawah Belanjawan Sabah 2026, Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Negeri Sabah diberi peruntukan sebanyak RM203.91 juta,” katanya dalam ucapan penggulungan kementerian semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Beliau berkata, peruntukan itu bagi melaksanakan program-program termasuk kerja-kerja operasi dan senggara yang merangkumi kerja-kerja awam, elektrikal, mekanikal serta proses dan alam sekitar.
Menurutnya, kerajaan negeri juga akan memperkasa kerja-kerja rutin penyelenggaraan dan program kerja-kerja pembetungan.
Selain itu Joachim berkata, kementeriannya juga diperuntukkan sebanyak RM 600.69 juta kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah untuk menampung perbelanjaan bagi program-program seperti penyenggaraan jalan negeri, dan program membina dan naik taraf infrastruktur lain.


Leave feedback about this