Tempatan Utama

Kerajaan Negeri lancar BESS Lahad Datu

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melancarkan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri Lahad Datu (BESS Lahad Datu) bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan elektrik di Pantai Timur serta meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, pelancaran BESS Lahad Datu di bawah seliaan Sabah Electricity adalah sebahagian komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan rakyat terus menikmati bekalan elektrik yang stabil, mencukupi dan mampu milik.

“Kejayaan ini merupakan satu pencapaian penting bagi Sabah kerana BESS Lahad Datu adalah fasiliti penyimpanan tenaga terbesar bukan sahaja di negara ini tetapi juga di Asia Tenggara, direka untuk meningkatkan kestabilan grid, mengurangkan kebergantungan kepada diesel dan menyokong integrasi tenaga boleh diperbaharui di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di sini, hari ini. Ucapan Ketua Menteri disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.

Hajiji berkata, selain BESS, beberapa langkah strategik juga sedang dirancang dengan sebahagiannya telah dilaksanakan di bawah Pelan Induk dan Halatuju Tenaga Sabah 2040 (SERAMP 2040) yang menjadi panduan utama hala tuju tenaga Sabah, berteraskan tiga prinsip utama iaitu keselamatan tenaga, kemampuan kos dan kelestarian alam sekitar.

“Semua inisiatif ini penting dalam memastikan kemajuan sosioekonomi dan kesejahteraan rakyat di seluruh negeri,” katanya.

Beliau berkata, peralihan kuasa kawal selia bekalan elektrik dan tenaga boleh diperbaharui daripada Kerajaan Persekutuan kepada Sabah pada Januari 2024 membolehkan negeri menggubal dasar dan peraturannya sendiri serta mempercepatkan pelaksanaan projek tenaga mengikut keperluan tempatan di bawah seliaan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).

Kerajaan Negeri juga telah meluluskan hampir 1,000 megawatt (MW) kapasiti baharu meliputi pelbagai sumber termasuk hidro, solar dan angin, katanya.

Bagi memperkasa lagi penjanaan tenaga di Sabah, beliau berkata ECoS telah melaksanakan bidaan Solar Skala Besar (LSS) bagi pembangunan loji tenaga solar antara 1MWac hingga 15MWac pada 2024.

Daripada bidaan itu, 15 projek dengan jumlah kapasiti 199MW — 113MW di Pantai Barat dan 86MW di Pantai Timur — telah diluluskan.

“Dengan projek sedia ada termasuk yang sedang dilaksanakan, kapasiti LSS di Sabah dijangka melebihi 350MW menjelang 2027, bersamaan 23 peratus daripada gabungan kapasiti penjanaan elektrik negeri,” katanya.

Satu lagi projek Solar Fotovoltaik Skala Besar (LSSPV) di Kota Marudu yang dijangka siap pada 2026 akan terus meningkatkan kapasiti tenaga Sabah, katanya.

Hajiji berkata, teknologi penyimpanan tenaga harus diperkenalkan di beberapa lokasi strategik bagi mengurangkan gangguan bekalan elektrik dan menyokong integrasi tenaga boleh diperbaharui dengan grid utama.

Beliau berkata, Sabah Electricity bekerjasama dengan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) untuk melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Pelan Halatuju Elektrifikasi Tenaga Boleh Diperbaharui Sabah (SabahRE2) dan memperluas akses elektrik di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Kerajaan Negeri kekal komited meningkatkan kebolehpercayaan, kestabilan dan daya tahan jangka panjang sistem elektrik negeri.

“Menyedari ia sebagai faktor penting dalam menarik dan mengekalkan pelaburan domestik dan antarabangsa, Kerajaan melalui kerjasama dengan Sabah Electricity, ECoS dan agensi Persekutuan bertekad mewujudkan ekosistem tenaga yang selamat, bersedia untuk masa depan dan mesra pelabur,” katanya.

Ketua Menteri turut mengucapkan tahniah kepada Sabah Electricity atas kejayaannya di Anugerah Pengurusan Projek (PMA) 2025, sebuah majlis pengiktirafan peringkat serantau yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini. Sabah Electricity memenangi beberapa anugerah menerusi projek BESS yang diiktiraf sebagai berimpak tinggi dalam sektor utiliti dan tenaga.

Leave feedback about this

  • Rating