Tempatan Utama

Momentum kestabilan politik, undi belia jadi penentu PRN Sabah

KOTA KINABALU: PRN Sabah 2025 dijangka menyaksikan saingan paling seimbang dalam sejarah politik negeri itu dengan dua blok utama, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), berada dalam kedudukan hampir seimbang untuk mendahului keputusan.

Analisis pasca penamaan calon menunjukkan kedua-dua gabungan itu mempunyai kekuatan tersendiri, namun sentimen terhadap kestabilan politik dan pola pengundian anak muda menjadi faktor utama yang mampu mengubah imbangan sepanjang tempoh kempen.

Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Ismail Rakibe, berkata kestabilan kekal sebagai tuntutan terbesar pengundi, terutama di kawasan luar bandar dan separa bandar yang mahukan pentadbiran lebih teratur serta mudah dijangka.

Beliau berkata keputusan BN menampilkan hampir 80 peratus calon baharu turut memberi nilai tambah kepada parti berkenaan, sekali gus mewujudkan persepsi mengenai kombinasi pembaharuan dengan pengalaman pentadbiran mereka sebelum ini.

“Ini memberikan kesan psikologi positif kepada pengundi kerana ia mengangkat imej BN sebagai pilihan yang stabil, walaupun parti itu berdepan kekangan sumber berbanding penyandang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, katanya kemunculan lebih 660,000 pengundi baharu melalui Undi18 dan pendaftaran automatik meletakkan undi belia sebagai blok penentu terbesar.

“Data interaksi digital menunjukkan BN dan GRS kekal sebagai dua gabungan paling menonjol dalam kalangan generasi muda, khususnya di platform TikTok dan Instagram Reels,” katanya.

Namun, menurut Dr. Ismail, peningkatan minat terhadap calon baharu dalam BN memperlihatkan kecenderungan progresif ke arah parti berkenaan, selari dengan aspirasi golongan muda yang menilai calon berdasarkan integriti, keupayaan menyelesaikan isu asas seperti air dan elektrik serta gaya komunikasi yang lebih segar.

“Pengundi muda tidak lagi terikat dengan kesetiaan politik tradisional. Mereka memilih berdasarkan kemampuan calon, bukan semata-mata parti,” katanya.

Mengulas hari terakhir kempen, beliau menjangka ia masih memainkan peranan besar seperti tradisi politik Sabah, namun kehadiran undi belia dalam jumlah besar serta kempen berasaskan media digital berkemungkinan membawa dinamika baharu.

Unjuran 18–18 antara GRS dan BN, katanya, membayangkan pengundi kini membuat pilihan mengikut isu semasa dan pengalaman harian, bukannya garis ideologi atau kecenderungan lama.

“Kerajaan negeri selepas ini hampir pasti terbentuk melalui rundingan antara parti, bukannya kemenangan majoriti tunggal,” katanya.

Beliau menjelaskan pembentukan kerajaan Sabah akan bergantung kepada kerjasama antara blok utama, peranan Warisan dan Pakatan Harapan (PH) sebagai blok pertengahan, serta sokongan parti kecil yang mampu menjadi penentu dalam situasi Dewan Undangan Negeri (DUN) tergantung.

“PRN Sabah 2025 bukan sekadar menentukan parti dominan, tetapi menguji kemampuan parti politik membentuk gabungan stabil bagi mentadbir negeri,” katanya.

Sumber Utusan Borneo

Leave feedback about this

  • Rating