Tempatan Utama

1.7 juta tenaga buruh dorong pertumbuhan ekonomi Sabah

PENAMPANG: Sabah merekodkan lebih 1.7 juta tenaga buruh  tahun lalu, menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri sebanyak RM84.3 bilion.

 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata peningkatan itu dicapai menerusi sumbangan pekerja dalam sektor-sektor kritikal seperti pertanian, pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian serta perkhidmatan.

 

“Setakat ini, terdapat 92 kesatuan sekerja berdaftar di Sabah  terdiri daripada 23 kesatuan sektor kerajaan, 52 sektor swasta dan 16 dari badan berkanun  dengan jumlah keseluruhan keahlian seramai 60,764 orang.

 

“Daripada jumlah itu, 22,317 ahli adalah dari sektor kerajaan, 35,194 sektor swasta dan 3,253 mewakili kesatuan dalam badan berkanun,” katanya ketika merasmikan Majlis Perhimpunan Hari Kesatuan Sekerja Peringkat Negeri Sabah 2025 di Pusat Komersial dan Teknologi Antarabangsa (ITCC) di sini, pada Isnin.

 

Hajiji berkata Kerajaan Negeri mengiktiraf kesatuan sekerja sebagai rakan strategik penting dalam pembangunan negeri dan komited untuk terus memperkasa suara pekerja dalam pelbagai aspek.

 

“Kerajaan Negeri mengalu-alukan penglibatan kesatuan sekerja dalam membina masa depan pekerjaan yang lebih lestari dan inklusif. Dalam kerangka pembangunan baharu ini, suara kesatuan perlu didengari dan diberi perhatian serius – bukan hanya dalam isu gaji dan faedah, tetapi juga dalam dasar ekonomi, pendidikan, teknologi dan persekitaran kerja masa hadapan,” jelasnya.

 

Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan tenaga kerja sentiasa terpelihara.

 

“Saya berharap perhimpunan ini menjadi medan untuk memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan kesatuan sekerja, selain menjadi titik tolak kepada masa depan yang lebih cerah untuk para pekerja di Sabah,” ujarnya.

 

Hajiji berkata agenda pembangunan di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya memberi tumpuan kepada kerjasama strategik bersama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam usaha memperluas perlindungan dan keselamatan sosial kepada seluruh tenaga kerja, termasuk pekerja sektor informal yang sering terpinggir.

 

“Kita mahu memastikan semua rakyat Sabah sama ada di pedalaman mahupun di kawasan bandar mendapat peluang yang adil untuk menyumbang dan menikmati hasil kemajuan negeri,” ujarnya.

 

Beliau menyifatkan perhimpunan itu sebagai permulaan kepada satu gerakan kesatuan sekerja yang lebih tersusun, inklusif dan seiring dengan aspirasi Sabah Maju Jaya.

 

Mengulas lanjut, beliau turut menyeru kesatuan sekerja agar kekal relevan dan responsif dalam menghadapi cabaran era globalisasi dan revolusi teknologi.

 

“Kesatuan sekerja perlu lebih proaktif menjaga kebajikan ahli dengan memanfaatkan pelbagai program peningkatan kemahiran, menyediakan suasana kerja yang selamat dan kondusif, serta memperjuangkan jaminan sosial yang kukuh dan adil untuk semua,” tambahnya.

 

Hajiji turut mengingatkan barisan kepimpinan kesatuan di Sabah yang bakal menyertai Perhimpunan Kesatuan Sekerja Peringkat Kebangsaan di Pulau Pinang pada 6 September depan agar memanfaatkan platform itu sebaiknya.

 

“Gunakanlah peluang tersebut untuk membawa suara pekerja Sabah ke pentas nasional,” katanya.

 

Hadir sama, Menteri KESUMA Steven Sim Chee Keong, Menteri Pembangunan, Perindustrian dan Keusahawanan Datuk Phoong Jin Zhe, Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja Malaysia Mohd Asri Abdul Wahab serta Presiden CUEPACS Datuk Dr. Adnan Mat.

Leave feedback about this

  • Rating