
KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus mencatatkan peningkatan dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 3 petang hari ini seramai 1,360 orang.
Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, kesemua mangsa terbabit melibatkan seramai 996 orang dari 307 keluarga di Sook dan 364 orang dari 111 keluarga di Beaufort.
Mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan kekal (PPK) Dewan Selagon Beaufort mencatatkan peningkatan iaitu 337 mangsa dari 102 keluarga manakala mangsa yang ditempatkan di empat PPS kekal dengan jumlah sebelum ini.
PPS terlibat ialah Dewan Datuk Ellron Agin yang menempatkan 671 mangsa, Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Keningau 2 (208), Dewan Kampung Ansip Tengah (117) dan PPS Dewan Residensi Prima Beaufort menempatkan 27 mangsa banjir.
PPS Dewan Masyarakat Sook mula ditutup jam 3 petang dan semua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.
Daripada jumlah mangsa banjir berkenaan, seramai 627 adalah lelaki termasuk 337 dewasa dan 320 kanak-kanak manakala, 733 orang lagi mangsa perempuan termasuk 439 dewasa dan 294 kanak-kanak.
Sementara itu, pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Beaufort terus membuat pemantauan susulan di kampung-kampung yang dinaiki air iaitu Kampung Batu 60, Binunuk, Balibata, Bakalau, Bingkul, Batanduk Lubak, Selinsing, Jalan Mahkamah, dan juga di Pekan Beaufort.
Antara sekolah yang terjejas banjir di Beaufort termasuk sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saint Paul dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kung Ming.
Sebanyak 19 kampung terjejas banjir iaitu 10 di Beaufort dan sembilan kampung di Sook berikutan banjir yang melanda kedua-dua daerah itu sejak Sabtu.
Sumber UtusanBorneo


Leave feedback about this