Tempatan Utama

Lelaki ditahan sembunyi rokok seludup di dalam tong ikan

KUNAK: Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki selepas didapati membawa rokok seludup di sebuah perkampungan di daerah ini, semalam.

Lelaki terbabit cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menyembunyikan rokok berkenaan di dalam tong ikan yang dibawanya menggunakan pacuan empat roda.

Pegawai Pemerintah Batalion 22 PGA Kunak, Superintendan Norman Chendan Anak Philip Picha Rumpang berkata, pihaknya mengesan sebuah pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota keselamatan bertindak menahan kenderaan berkenaan dan hasil pemeriksaan mendapati muatan sebanyak tujuh kotak berisi rokok tidak bercukai.

“Semua rokok itu disembunyikan dalam tong ikan di belakang kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Kejayaan ini adalah hasil usaha yang komited anggota PGA yang sentiasa bertungkus lumus menjalankan tugas dan tanggungjawab bagi mengekang kegiatan yang menyalahi undang-undang.

“Pihak BN 22 PGA Kunak, tidak akan berkompromi dan tidak rela individu seperti ini untuk terus melakukan jenayah di daerah ini,” katanya.

Leave feedback about this

  • Rating