
SEMPORNA: Sembilan termasuk lima kanak-kanak selamat selepas rumah mereka di Kampung Air, di sini, tiba-tiba roboh sendiri, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa yang terselamat adalah seorang lelaki dan tiga wanita dewasa serta lima kanak-kanak.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Air Semporna, Noor Jali Maslah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.11 tengah hari.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai BBP Air Semporna digerakkan ke lokasi kejadian dan sebaik tiba didapati sebuah rumah atas air roboh.
“Terdapat sembilan mangsa di dalam rumah yang roboh itu berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba di lokasi dan semua mangsa dalam keadaan selamat.
“Semua mangsa kemudian dipindahkan ke balai raya kampung berkenaan untuk penempatan sementara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, selepas memastikan tiada lagi bahaya yang wujud, operasi ditamatkan pada jam 2.59 petang.


Leave feedback about this