
PAPAR: Seorang remaja lelaki maut manakala seorang lagi parah selepas motosikal ditunggang mereka terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan di Jalan Bukit Manggis Kelatuan, di sini petang semalam.
Mangsa warga tempatan berusia 16 tahun disahkan meninggal dunia pada jam 5.30 petang selepas hampir sejam menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Papar.
Seorang lagi mangsa lelaki warga tempatan berusia 13 tahun mengalami cedera parah dan menerima rawatan di hospital sama.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 4.53 petang.
Katanya, kejadian itu berlaku ketika seorang lelaki warga tempatan berusia 50 tahun yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) dari Keningau menuju ke Kota Kinabalu.
Namun, katanya, sebaik pemandu terbabit tiba di Jalan Bukit Manggis Kampung Kelatuan, mahu masuk simpang ke kanan menuju ke Masjid Jamek Haji Said Derun tiba-tiba terdengar bunyi yang kuat dari arah belakang sebanyak dua kali.
“Motosikal ditunggang remaja terbabit melanggar tepi kanan depan kenderaan manakala sebuah lagi motosikal ditunggang seorang lagi remaja melanggar belakang sebelah kanan kenderaan SUV berkenaan.
“Akibat kemalangan itu, kedua-dua penunggang motosikal dibawa ke Hospital Papar untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini..
Kamaruddin berkata, pemandu dan penumpang SUV terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Remaja yang berusia 16 tahun disahkan meninggal ketika mendapat rawatan di Hospital Papar, kira-kira jam 5.30 petang.
“Seorang lagi mangsa yang mengalami kecederaan parah masih menerima rawatan di hospital sama,” katanya.
Katanya, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


Leave feedback about this